16 Petugas Sukarelawan MyVAC Bantu Jayakan PICK Fasa 2

Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 20 April (Malaysiaaktif) – Seramai 16 orang sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) mula membantu petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Kota Kinabalu di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, bermula semalam.

Menurut salah seorang petugas MyVac, Kuganpreetpal Singh, 24, dia teruja selepas terpilih menjadi sukarelawan dan tidak menyangka permohonannya menyertai program tersebut melalui laman sesawang rasmi MyVac diterima.

“Tujuan saya menyertai MyVac dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah bagi melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan masyarakat setempat terutama golongan emas mudah dan selesa ketika mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di PPV.

Petugas 16 Petugas Sukarelawan MyVAC Bantu Jayakan PICK Fasa 2 sukarelawan membantu salah seorang warga emas dalam proses saringan suhu. Petugas 16 Petugas Sukarelawan MyVAC Bantu Jayakan PICK Fasa 2 sukarelawan membantu salah seorang warga emas dalam proses saringan suhu.



“Saya melapor diri sebagai sukarelawan pada bulan lalu setelah mendapat pemakluman melalui e-mail dan panggilan telefon selain diberi latihan secara dalam talian dan sesi taklimat sebelum memulakan tugas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian PICK Fasa 2 Peringkat Negeri Sabah, semalam.

Tambah alumni Sarjana Kerja Sosial daripada Universiti Malaysia Sabah itu, program kesukarelawan seperti ini mampu memberikan pelbagai pengalaman selain dapat menggalakkan masyarakat terutama golongan belia agar tampil menghulurkan tenaga terhadap aktiviti seumpama ini.

Sementara itu rakan setugas Kuganpreetpal, Sermalin Sabri, 25, berkata banyak perkara menarik yang dipelajari ketika bertugas di PPV dan dia amat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memilihnya untuk terlibat sama dalam usaha mewujudkan imuniti berkelompok bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga Februari tahun hadapan.

Kuganpreetpal Singh. Kuganpreetpal Singh.



“Tugas utama kami adalah untuk membantu petugas KKM dalam proses pendaftaran, saringan suhu, menjemput ketibaan warga emas atau OKU selain membantu petugas kesihatan dalam persiapan logistik.

“Syabas kepada pihak kerajaan menerusi pengurusan MyVac yang sangat prihatin terhadap kebajikan petugas dengan menyediakan elaun, kemudahan hospitaliti, insurans, sijil dan lain-lain manfaat kepada para sukarelawan,” jelasnya.

Sermalin ketika membantu seorang warga emas bagi proses bagi konsultasi dan persetujuan vaksinasi. Sermalin ketika membantu seorang warga emas bagi proses bagi konsultasi dan persetujuan vaksinasi.



-RI