150 Sukarelawan Daerah Kulim Terima Sumbangan

Laporan/foto: Juliana Ibrahim/Mahrani Mohamad (Kulim)

Kulim, 30 April (Malaysiaaktif) - Seramai 150 orang sukarelawan menerima sumbangan  daripada Menteri Besar Kedah sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa baru-baru ini dan mereka yang terpilih ini merupakan sebahagian daripada 450 orang penerima sumbangan di Daerah Kulim.

Majlis anjuran bersama Pejabat Menteri Besar Kedah dan Pejabat Daerah Kulim yang diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As Sidiq, Taman Kenari Kulim itu menyaksikan sukarelawan yang terdiri daripada bidan kampung, bomoh patah, mudim, guru Al Quran, jurumandi jenazah serta penggali kubur Daerah Kulim menerima sumbangan berupa wang tunai RM200 berserta barangan lain.

Menurut Menteri Besar Kedah, yang juga ADUN Jeneri, Sanusi Md Nor, khidmat sukarelawan ini telah lama wujud dan mereka ini berkhidmat tanpa mengira waktu malah tidak mengharapkan balasan dan masing-masing mempunyai kepakaran sendiri tanpa boleh disangkal lagi.

"Sumbangan yang diberikan ini adalah tanda penghargaan kerajaan atas khidmat sukarelawan mereka kepada masyarakat dan saya berharap agar sumbangan yang diterima ini dapat membantu dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri," ujarnya ketika berucap di majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, khidmat sukarelawan ini hendaklah diteruskan supaya menjadi inspirasi dan melahirkan lebih ramai lagi pelapis sukarelawan dalam kalangan generasi muda pada masa akan datang.

Siti Sara Long, 65, merupakan penerima kategori jurumandi jenazah berkata, dia tidak pernah mengharapkan apa jua balasan kerana pekerjaan ini dilakukan atas dasar fardu kifayah.

"Saya berasa bersyukur dan terharu kerana terpilih untuk menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kedah," ujarnya ketika ditemui di majlis tersebut.

Majlis ini diakhiri dengan jamuan berbuka puasa dan solat Magrib berjemaah bersama Menteri Besar Kedah.

~RJ~