180 Pesakit Hospital Labuan Terima 'Hadiah' daripada MAIWP

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 2 Mei (Malaysiaaktif) – 180 orang pesakit hospital Labuan menerima ‘hadiah’ istimewa apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju untuk mengagihkan bantuan kewangan sebanyak RM18,000.00.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, bantuan itu bagi meringankan beban mereka untuk menyambut Ramadan pada kali ini.

"Saya berpendapat bahawa kebanyakan pesakit di hospital ini juga adalah terdiri dari asnaf MAIWP yang sedia ada dan ini menunjukkan kepada kita bahawa pihak MAIWP sentiasa peka dalam penyaluran bantuan kepada asnaf yang memerlukan.

"Saya juga berharap agar MAIWP terus cemerlang dalam membantu lebih ramai pesakit terutamanya golongan asnaf yang memerlukan bantuan berbentuk perubatan di Hospital Labuan ini," katanya semasa merasmikan Program Penyampaian Sumbangan kepada Pesakit Hospital Labuan 2021 di hospital tersebut, di sini hari ini.

Pihak MAIWP juga jelasnya telah memperuntukkan sebanyak RM560,600.00 untuk Skim Bantuan Perubatan kepada asnaf-asnaf di Labuan.

Ahmad Marzuk semasa ditemubual oleh pihak media. Ahmad Marzuk semasa ditemubual oleh pihak media.



"Melalui bantuan yang disalurkan ini, MAIWP telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dan amat memberangsangkan dalam membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

"Oleh itu, MAIWP selaku pemegang amanah para pembayar zakat juga telah menyediakan 30 skim bantuan yang ditawarkan yang mana turut melibatkan bantuan perubatan bulanan dan peralatan kesihatan secara sekali beri," jelasnya lagi.


Beliau turut berharap agar program seumpama itu dapat dijadikan perintis kepada program-program kebajikan daripada agensi lain.

"Manfaat agihan zakat dapat dilihat dan dirasai kembali oleh pembayar-pembayar zakat dan warga Labuan amnya melalui kemudahan bantuan perubatan yang disediakan untuk sebarang rawatan di Hospital Labuan," katanya.

-RI