Kes Meningkat dengan 3,418 Kes Baharu

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Malaysiaaktif) - Kes positif baharu COVID-19 mencatatkan peningkatan dengan 3,418 kes dilaporkan semalam berbanding 2,881 kes kelmarin, sekali gus menjadikan kes kumulatif COVID-19 di negara ini mencecah 415,012 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata daripada jumlah itu, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 1,200 kes diikuti Sarawak (587) dan Kelantan (400).

Ia diikuti Johor dengan 213 kes; Kuala Lumpur (198); Terengganu (184); Pulau Pinang (145); Sabah (115); Kedah (101); Perak (77); Negeri Sembilan (73); Melaka (61); Pahang (45); Putrajaya (8); Labuan (7) dan Perlis (4).

Dr Noor Hisham dalam kenyataan media berkata sebanyak 2,698 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulih sebanyak 383,140 kes manakala kes aktif kini 30,339.

Beliau berkata sebanyak 345 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 175 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan manakala pertambahan 12 kematian menjadikan jumlah keseluruhan angka korban akibat wabak itu kini 1,533 orang.

Katanya, 11 kluster baharu dikenal pasti melibatkan lima kluster komuniti, empat kluster sektor pendidikan termasuk dua kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan dua kluster tempat kerja.

Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Sungai Tengah; Kluster Sungai Sebemban dan Kluster Sebujok di Sarawak, Kluster Jalan Sri Putri 12, Johor; Kluster Jalan Emas, Melaka manakala kluster pendidikan iaitu Kluster Sains Bakam, Sarawak; Kluster Kiara Jaya, Kluster Jalan Junjong dan Kluster Limau Karangan, Kedah.

"Kluster tempat kerja pula ialah Kluster Kasawari Sembilan dan Kluster Persiaran Raja di Selangor," katanya.

Menurut beliau sebanyak 10 kluster tamat semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,284 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 396.

Sepuluh kluster yang tamat adalah Kluster Lorong Mulia; Kluster Jalan Alamanda; Kluster Jalan Padang; Kluster Taman Brick; Kluster Jalan Kemajuan; Kluster Jalan Suasana; Kluster Wakaf Chagak; Kluster Jalan Teluk Kumbar; Kluster Kampung Batu Lapan Lekir dan Kluster Sungai Mupong.

Mengenai kes pertama membabitkan varian India iaitu B.1.617.1 (P1) yang dikesan daripada seorang rakyat India yang menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Dr Noor Hisham menjelaskan individu terbabit telah diasingkan dan sedang menerima rawatan.

Beliau menegaskan Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April lepas.

Selain varian India, Kementerian Kesihatan juga telah mengesan sejumlah 30 kes varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia iaitu 27 kes bagi varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes bagi varian United Kingdom (B.117).

-- BERNAMA