Tiga NGO Media Serah Memorandum kepada KKMM

Foto: KKMM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Malaysiaaktif) - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) media -- Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gerakan Media Merdeka dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah untuk perhatian kerajaan bagi terus memastikan kebebasan media.

Presiden NUJ Farah Marshita Abdul Patah berkata mereka menyerahkan memorandum itu bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut pada 3 Mei.

"Kami harap kerajaan mempromosikan kebebasan media serta mencipta lingkungan yang membenarkan media berfungsi dengan bebas,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu di sini hari ini.

Farah Marshita berkata antara cadangan yang dikemukakan dalam memorandum tersebut adalah penubuhan Dana Daya Tahan Media, Majlis Media Malaysia dan mempercepatkan giliran pengamal media menerima suntikan vaksin COVID-19.

Memorandum itu diserahkan kepada Pegawai Khas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Syed Khairil Imran Said Halim.

Syed Khairil ketika dihubungi berkata memorandum itu akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek yang kemudiannya akan menyerahkannya kepada Saifuddin.

Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu pula berkata peranan pengamal media ketika ini semakin mencabar dan kritikal dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai setiap dasar kerajaan dan media juga perlu diberi kebebasan untuk menyampaikan maklumat berbentuk kritikan.

-- BERNAMA