KKM Bincang Wujudkan Hospital Medan di Sarawak, Kelantan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 3 Mei (Malaysiaaktif) - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pertananan untuk mewujudkan hospital medan di Kelantan dan Sarawak dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata dengan adanya hospital medan, kes-kes bukan berkaitan COVID-19 boleh diletakkan di hospital itu supaya bebanan di hospital-hospital yang terjejas kerana kes COVID-19 dapat dikurangkan.

“Sehingga kini kita dapati terdapat keperluan untuk mengadakan hospital medan seperti di Tawau dan juga Kelantan… maka perbincangan sedang dilakukan agar Kementerian Pertahanan boleh mewujudkan hospital medan itu.

“Hospital-hospital yang ada nanti terutama sekali untuk Unit Penjagaan Rapi (ICU) dan wad-wad kritikal dapat digunakan dan difokus kepada pertambahan kes-kes COVID-19,” katanya pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan program imunisasi itu di sini hari ini.

Mengenai penambahan petugas di seluruh negara bagi mendepani COVID-19, Dr Adham berkata sejak 11 Januari, seramai 8,000 petugas dari kementerian lain digerakkan bagi membantu KKM.

-- BERNAMA