Syarikat Tekstil Sumbang 32 Baju Raya kepada Anak Yatim

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Menjelang Aidilfitri tahun ini, syarikat peneraju tekstil, Jakel Silk House sekali lagi menghulurkan sumbangan baju raya kepada 32 anak yatim.

Pengurusnya Mohd Firhat Nazari, berkata program tahunan itu dirancang di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk anak-anak yatim.

"Ini adalah program tahunan hasil kolaborasi dengan rakan-rakan NGO untuk golongan kurang berkemampuan.

"Sejak beroperasi pada tahun 2009, lebih 50 program CSR telah kita adakan untuk golongan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas, fakir miskin dan sebagainya.

Firhat ketika bercakap kepada media. Firhat ketika bercakap kepada media.



"Cuma pada tahun lepas sahaja kita tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan oleh kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19," ujarnya yang ditemui pada Program Masih Ada Sayang di premis perniagaan tersebut, di sini semalam.

Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Kiara Kota Kinabalu Mohd Zulhilmi Mohammad Azwan berkata pihaknya menjayakan program itu melalui sumbangan daripada beberapa pihak iaitu Skuad Komuniti Prihatin Sabah, Persatuan Kebajikan Islam Sabah, Yayasan Sabah dan orang perseorangan.

Sumbangan berjumlah RM4,000 itu selain dibelanjakan untuk membeli baju melayu, baki akan diagihkan kepada 32 pelajar terbabit dalam bentuk duit raya.

NGO...Mohd Zulhilmi komited membantu golongan anak yatim. NGO...Mohd Zulhilmi komited membantu golongan anak yatim.



Dalam pada itu, Pengurus RAY dan Mahad Tahfiz Home Tuaran Junainah Hassan merakamkan ucapan terima kasih dan sangat bersyukur atas sumbangan yang diterima pihaknya.

"Syukur dan terima kasih, sumbangan ini adalah hadiah kegembiraan untuk anak-anak kami seperti orang lain meraikan hari raya Aidilfitri.

"RAY ini telah beroperasi sejak tahun 2014 dan ini adalah tahun ketujuh yang menempatkan 32 pelajar lelaki dari pelbagai kategori anak yatim seperti mangsa perceraian, ibu tunggal, ibu bapa mualaf dan keluarga yang miskin.

"Mereka berusia di antara lapan tahun hingga 20 tahun dan kita menaja anak-anak ini sehingga tamat pengajian mereka," ujarnya ketika menerima sumbangan yang disampaikan pengarah syarikat tersebut Cawangan Sabah Mohd Amran Mohd Nor.

-RI