300 Warga Emas Teluk Intan Terima Suntikan Vaksin COVID-19

Laporan/foto: Nuratikah Abdullah/Hanizatul Azwa Mat Lazim (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 4 Mei (Malaysiaaktif) - Seramai 300 warga emas di daerah ini menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hilir Perak Mohamad Syahmi Mohamad Anis, berkata fasa kedua program ini melibatkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang memberi keutamaan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas lingkungan usia antara 80 sehingga 100 tahun.

“Secara keseluruhan program hari ini berjalan dengan lancar dan semua penerima vaksin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini semalam.

Sementara itu, penerima vaksin Kamisah Tersik, 90, berasa lega setelah menerima suntikan tersebut walaupun pada mulanya perasaan takut itu ada.

“Saya tidak berasa sebarang kesakitan sama ada ketika disuntik mahu pun selepas urusan suntikan selesai,” ujarnya ketika selesai menerima suntikan tersebut.

Low Kam Lai, 95, (kiri) antara warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam. Low Kam Lai, 95, (kiri) antara warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam.



Berkongsi nada yang sama, seorang lagi penerima, Low Kam Lai, 95, berkata anaknya bersetuju malah memberi dorongan kepada dia supaya menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech menerusi PICK tanpa ragu-ragu.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia di luar sana agar tidak terlalu mudah menerima sebarang berita tular yang tidak sahih mengenai vaksin COVID-19 tertutama di laman media sosial," katanya ketika selesai menerima suntikan vaksin semalam.

"Orang ramai tidak perlu gusar atau takut untuk mendapatkan suntikan vaksin hanya disebabkan oleh khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

~RJ~