Kerajaan Perhalusi Isu Insurans COVID-19 Jemaah, Pelawat Asing ke Arab Saudi

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Mei (Malaysiaaktif) - Kerajaan akan memperhalusi dan membincangkan isu berkaitan syarat terbaharu yang diumumkan oleh Arab Saudi, supaya jemaah dan pelawat asing yang berkunjung ke negara itu mesti mempunyai perlindungan insurans COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya akan meneliti kenyataan rasmi berkaitan, terlebih dahulu.

“Bagi saya masalah itu tidaklah besar sangat sebab kita banyak badan dan ejen insurans diiktiraf, dan perkara ini kami akan perhalusi satu persatu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan syarat terbaharu diumumkan Bank Pusat Saudi dan Majlis Koperasi Insurans Kesihatan itu, yang bertujuan menyediakan rawatan kesihatan kepada individu dilindungi insurans, jika dijangkiti COVID-19 sepanjang tempoh mereka berada di negara itu, dan membolehkan pesakit mendapat akses segera kepada rawatan.

Ia juga menyediakan perlindungan insurans untuk menampung kos bagi kes yang dikesan serta kuarantin, selain kes kecemasan untuk pemindahan perubatan.

-- BERNAMA