Kerajaan Negeri Lulus Lebih RM9 Juta untuk Pengurusan Pandemik COVID-19

Laporan/foto: Pauline Sating (Sarawak)

BINTULU, 20 Mei (Malaysiaaktif) - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, telah meluluskan bantuan sebanyak RM3.66 juta kepada Pejabat Residen khasnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu untuk pengurusan pandemik COVID-19.

Menurut Abang Johari, kerajaan membuat keputusan mendirikan bangunan sementara untuk membantu hospital dengan menambah bilangan katil di hospital tersebut.

“Kerajaan negeri membantu kerana kita rasa bahawa hospital sekarang tidak mencukupi,” katanya mengulas isu pertambahan pesakit yang diterima dari kawasan luar Bintulu seperti di daerah Mukah, Dalat dan Belaga ketika ditemui pemberita semasa sesi taklimat situasi Pandemik COVID-19, di sini semalam.

Menurut Abang Johari, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM870 ribu kepada Hospital Bintulu untuk membekalkan kelengkapan peralatan untuk merawat pesakit COVID-19.

“Pejabat Kesihatan Bintulu berkehendakkan kelengkapan peralatan khas untuk menyediakan sistem maklumat yang berharga RM488,500.

“Kita telah meluluskan kos keseluruhan untuk Jabatan Kesihatan sebanyak RM5 juta untuk mereka membeli kelengkapan peralatan,” katanya.

-ZS