JPBD Labuan Tingkatkan Kapasiti PKRC

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan meningkatkan kapasiti katil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi menampung peningkatan kes positif COVID-19.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Ismuni Bohari, menerusi perbincangan JPBD kapasiti PKRC yang boleh menempatkan 400 pesakit akan ditingkatkan ke 600 lebih pesakit.

“Kita akan merawat agar pesakit tidak bertambah teruk dan memastikan mereka dikuarantin untuk menghentikan penularan, kita juga ada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi Pesakit-pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan yang mana perlu dikuarantin di rumah dengan pemantauan pihak polis bagi mengurangkan tekanan di PKRC,” katanya yang ditemui pada majlis ringkas penyerahan sumbangan bahan mentah bagi kegunaan PKRC di Hospital Labuan, di sini petang semalam.

Jelasnya, pihaknya sudah menjangkakan peningkatan kes positif COVID-19 dua minggu sebelum Hari Raya disebabkan peningkatan kemasukan ke Labuan dan sambutan musim perayaan.

“Saringan yang kita lakukan sejak minggu lepas juga menunjukkan pola peningkatan kes yang tinggi dan kita jangkakan kadar jangkitan juga bertambah,” katanya.

Shamsul (dua dari kiri), Mohd Dzulfaizal (paling kiri) menyerahkan sumbangan bahan-bahan mentah kepada Ismuni. Shamsul (dua dari kiri), Mohd Dzulfaizal (paling kiri) menyerahkan sumbangan bahan-bahan mentah kepada Ismuni.



Pada majlis itu, pihak Jabatan Kesihatan Labuan mewakili JPBD Labuan menerima sumbangan bahan-bahan mentah daripada beberapa badan korporat dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon Labuan (MPPWP) yang diselaraskan Persatuan Penggiat Media Labuan.

Menurut Penaung (sektor korporat) Persatuan Penggiat Media Labuan Datuk Shamsul Sahari, sumbangan itu akan digunakan JPBD bagi penyediaan makanan kepada pesakit-pesakit di dua PKRC yang ada di Labuan.

“Ini satu inisiatif yang baik daripada Persatuan Penggiat Media Labuan dan diharap lebih banyak pihak akan memberikan sumbangan bagi membantu JPBD serta barisan hadapan kita menguruskan para pesakit di PKRC,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah Hospital Labuan Dr. Adnan Musa Balidran, Pengerusi MPPWP Zon Labuan Mohd Dzulfaizal Ab Manan dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan Jainudin Djimin.

-RI