APMM Labuan Pertingkat Kawalan Sempadan Negara

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan meningkatkan kawalan sempadan negara melalui operasi serta pemantauan yang berterusan.

Menurut Pengarahnya Kapten Maritim Nudin Jusoh, pengawasan di sekitar perairan di bawah tanggungjawab Zon Maritim Labuan akan diperketatkan seperti mana yang diarahkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Selama ini memang kita buat pemantauan untuk meningkatkan keselamatan di perairan Labuan dan pemantauan ini tertakluk kepada semua aktiviti-aktiviti seperti kemasukan nelayan asing dan sebarang jenayah rentas sempadan.

Zon Maritim Labuan sedangmemantau sebarang aktiviti yang dilarang di pelantar-pelantar minyak. Zon Maritim Labuan sedang memantau sebarang aktiviti yang dilarang di pelantar-pelantar minyak.



“Kita juga menasihatkan komuniti nelayan agar mengikuti SOP dan hanya nelayan sahaja dibenarkan menangkap ikan agar tidak melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya yang ditemui semasa melaksanakan Ops Sejahtera, Ops Benteng Timur dan Ops Pagar Laut di perairan Labuan semalam.

Tambahnya, melalui pemantauan yang dilakukan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), peratusan pelanggaran peraturan amat rendah dan pihaknya akan membuat tindakan segera jika mendapat maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada operasi itu, Zon Maritim Labuan menggerakkan asetnya iaitu bot Penggalang 24 bagi menjalankan pemantauan di beberapa pelantar minyak bagi mencegah aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan seperti menangkap ikan di kawasan pelantar disamping meninjau aktiviti bot-bot nelayan yang beroperasi di perairan Labuan.

Nudin (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama anggota yang bertugas dan pengamal media yang ikut serta dalam operasi itu. Nudin (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama anggota yang bertugas dan pengamal media yang ikut serta dalam operasi itu.



-RI