PKRC Dewan Al Farabi Mula Operasi

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashyar Abdullah (Alor Setar)

ALOR SETAR, 7 Jun (Malaysiaaktif) - Dewan Al Farabi Kompleks Pendidikan Negeri Kedah yang dipilih sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) akan mula beroperasi pada 8 Jun (Selasa) ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, memaklumkan situasi di negeri itu memberi gambaran betapa seriusnya pandemik COVID-19 apabila kes sentiasa meningkat dan jumlah kematian jugak turut tinggi.

"Saya harap semua usaha keras dan persiapan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan dan agensi berkaitan dapat membantu kita seluruh rakyat negeri Kedah untuk menghentikan penularan pandemik COVID-19 tersebut.

"Saya juga telah memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah agar berusaha mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini," katanya ketika mengadakan lawatan ke PKRC Dewan Al Farabi bagi meninjau sejauh mana persiapan yang telah dibuat oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bersama agensi-agensi berkaitan yang telah dilantik, di sini hari ini.

40 katil dimuatkan di PKRC Dewan Al Farabi Kedah. 40 katil ditempatkan di PKRC Dewan Al Farabi Kedah.



Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Dr. Mohd Fikri Ujang, PKRC Dewan Al Farabi dibuka bagi mengurangkan penggunaan katil di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"PKRC Dewan Al Farabi akan menempatkan 40 katil bagi pesakit COVID-19 yang terdiri daripada golongan warga emas kategori tiga dan empat.

"Pembukaan PKRC di sini dapat memberi keselesaan kepada warga emas yang ditempatkan di dua PKRC sedia ada di daerah Kulim dan Sungai Petani," ujarnya ketika ditemui.

~RJ~