Bakul Makanan Ringankan Beban Penduduk PKPD

Laporan/foto: Azimee Abdullah/Muhamad Alif (Daerah Barat Daya)

BAYAN LEPAS, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 10,000 penduduk di 13 lokaliti di Mukim 12, Pekan Bayan Lepas yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bakul makanan di sini.

Pegawai Daerah Barat Daya selaku Pengerusi Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Daerah Barat Daya (JPBD BD) Mohd Hafiz Aswad Nadzri, berkata sumbangan akan diedarkan melalui pasukan keselamatan bergerak iaitu Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitenden A.A Anbalagan sedang memberikan taklimat berkenaan sekatan jalan raya dalam kawasan PKPD di SJR Jalan Sri Bayu. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitenden A.A Anbalagan (kiri) sedang memberikan taklimat berkenaan sekatan jalan raya dalam kawasan PKPD di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Sri Bayu.



“Pelaksanaan PKPD ini adalah perlu berikutan peningkatan kes mendadak jangkitan COVID-19 di kawasan ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah sangat tinggi dan menyebabkan beberapa kes kematian.

“Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan siasatan dan ujian saringan awal ke atas kontak rapat secara berfokus untuk membendung penularan dalam komuniti dalam tempoh 14 hari yang melibatkan 13 lokaliti yang dianggarkan seramai 10 ribu orang akan terkesan melibatkan 2,434 unit kediaman,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), di sini kelmarin.

Hafiz berkata JPBD BD melalui Bilik Gerakan akan memastikan semua keperluan asas seperti makanan dan barangan rumah untuk penduduk yang terlibat tidak terputus.

"Bilik Gerakan PKOB telah diaktifkan di Pekan Bayan Lepas untuk menyelaras sumbangan bantuan bakul makanan kepada keluarga terjejas dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang menunjukkan peningkatan setiap hari.

"Premis perniagaan seperti kedai runcit, kedai makan dan pasar awam dibenarkan beroperasi seperti biasa supaya penduduk dapat membeli barangan keperluan," katanya.

Lawatan Mohd Hafiz Aswad Bin Nadzri, Pegawai Daerah Barat Daya ke Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk melihat kawasan yanv terlibat dalam PKPD. Pegawai Daerah Barat Daya Mohd Hafiz Aswad Nadzri (tiga dari kanan) ke Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk melihat kawasan yang terlibat dalam PKPD.



 

Pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Barat Daya Marshita Othman, berkata JaPen sebagai sebuah jabatan turut terlibat dengan JPBD BD di samping agensi Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia yang sentiasa bergabung tenaga demi memastikan kelancaran sepanjang PKPD ini berlangsung.

"JaPen akan membantu membuat hebahan untuk memastikan bahawa penduduk di sini sentiasa mematuhi arahan serta duduk di rumah sepanjang tempoh PKPD ini," ujarnya.

Terdahulu, Pegawai Daerah Barat Daya selaku Pengerusi JPBD BD melawat tapak Bilik Gerakan PKOB dan sekatan jalan raya (SJR) di sekeliling PKPD dengan turut diiringi oleh Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitenden A.A Anbalagan.

-ii-