Kesedaran Rakyat Terhadap Vaksin Lancar Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19

Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan menyasarkan sebanyak 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bakal dibuka di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata ini bagi melancarkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Kementerian berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan vaksin akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat akan menerima vaksin sebelum hujung tahun ini.

 

Datuk Ahmad Amzad Hashim berbual dengan penerima vaksin pada sesi lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Terengganu. Ahmad Amzad (tengah) berbual dengan penerima vaksin pada sesi lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Terengganu.



"Sehingga kini lebih 13 juta rakyat telah mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera iaitu sekitar 50 peratus dan ia masih belum mencapai sasaran sebenar seperti yang dikehendaki.

"Setakat ini empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Sabah masih menjadi negeri terendah dari segi pendaftaran dan pemberian vaksin berbanding negeri lain," katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Laut, di sini baru-baru ini.

Penerima vaksin mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Kuala Terengganu. Penerima vaksin mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Kuala Terengganu.



Terdahulu, Ahmad Amzad diberikan taklimat mengenai operasi PPV oleh Penyelaras PPV Kuala Terengganu Dr Norhana Yazid.

Ahmad Amzad sempat meluangkan masa kira-kira sejam meninjau operasi PPV di sini yang menyediakan sekitar 600 vaksin dalam masa satu hari sambil beramah mesra dengan penerima vaksin.

-ii-