NUJM Gesa Pengamal Media Belum Divaksinasi Tidak Buat Liputan di Lapangan

PUTRAJAYA, 9 Jun (Malaysiaaktif) -Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa semua pengamal media yang belum menerima vaksin agar tidak membuat sebarang liputan di lapangan atau di tempat awam.

Presiden NUJ Farah Marshita Abd Patah berkata gesaan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kesatuan untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan petugas media yang masih belum diberikan suntikan vaksin.

Sehubungan itu, katanya NUJM memohon kerjasama semua pihak sama ada pengurusan media swasta ataupun media kerajaan serta ketua pengarang agar hanya menghantar petugas media yang sudah disuntik vaksin untuk membuat liputan di lapangan.

"Namun, bagi petugas media yang telah divaksinasi dan berada di lapangan, mereka diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard dan menjaga keselamatan diri.

"Mulai hari ini (9 Jun), hanya segelintir petugas media yang menerima notifikasi mengenai tarikh janji temu vaksin mereka, manakala sebahagian besar petugas media di seluruh negara masih lagi menunggu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Melihat kepada keadaan politik semasa negara, Farah Marshita berkata ramai petugas media didapati mulai "berkhemah" di lapangan untuk membuat liputan berita dan menyampaikan maklumat terkini.

"Tidak mustahil, dalam waktu terdekat ini, semasa membuat liputan, beberapa petugas media mungkin akan terdedah terhadap penularan COVID-19 dan seterusnya menjangkiti rakan sekerja yang lain.

“Sehubungan itu, NUJM sekali lagi menggesa kerajaan agar mempercepat vaksinasi kepada petugas media seperti yang dijanjikan kepada kami, bermula pada minggu pertama Jun. Namun, sehingga kini, belum ada tindakan,” tambahnya.

Hari ini, kumpulan pertama petugas media yang berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mula menerima dos pertama vaksin dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

-- BERNAMA