Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 Jamin Siapsiaga Hadapi Krisis Sekuriti Makanan

Foto: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 

PUTRAJAYA, 9 Jun (Malaysiaaktif) - Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang diperakukan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara semalam, dapat menjamin kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi krisis sekuriti makanan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam kenyataan hari ini berkata pelan itu menumpukan kesemua empat dimensi sekuriti makanan, seiring dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), iaitu ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan.

Pelaksanaan pelan tindakan menerusi 15 strategi dan 96 inisiatif itu dijangka menyumbang kepada keberadaan makanan yang selamat dengan harga berpatutan, peningkatan pengeluaran makanan secara domestik, pengurangan kebergantungan pada import makanan dan guna tenaga asing.

Menurut kementerian itu, pelan tersebut meliputi lima teras strategik iaitu perluasan penggunaan teknologi; pemerkasaan kajian dan penyelidikan; pemerkasaan data sekuriti makanan; perluasan kolaborasi strategik; serta pengukuhan governans jabatan dan agensi.

Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sidang video berkenaan juga secara dasar bersetuju mengenai langkah kawalan dan penguatkuasaan berkaitan aktiviti import dan transit produk haiwan.

“Mesyuarat juga bersetuju mekanisme baharu bagi menangani isu kekurangan bekalan dan memastikan harga bawang di Malaysia akan jadi lebih stabil,” katanya.

Selain itu, kertas makluman mengenai status pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) serta prestasi Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2020 juga dibentangkan dalam mesyuarat pada kali ini.

“Secara keseluruhan, prestasi sekuriti makanan negara berada dalam kedudukan yang baik. Inisiatif digariskan dalam Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 turut mengambil kira analisis terhadap sekuriti makanan Malaysia berdasarkan GFSI,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kementerian menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, antara lain akan memberi penekanan kepada inisiatif untuk meningkatkan produktiviti serta memperkukuh rantaian nilai makanan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan ke arah meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat, terutamanya di kala negara mengharungi pandemik COVID-19,” katanya.

-- BERNAMA