22 Kanak-kanak Seronok Sertai Pertandingan Mewarna di PKRC

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MHPSS

SERDANG, 10 Jun (Malaysiaaktif) - Seramai 22 orang kanak-kanak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) menyertai pertandingan mewarna yang diadakan semalam.

Penyelaras Khidmat Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Suraya Banu Sallehudin, berkata kanak-kanak yang berusia tiga hingga 12 tahun itu merupakan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di Dewan C dan Dewan DG.

“Tujuan aktiviti ini dijalankan untuk mengisi masa lapang kanak-kanak dengan aktiviti yang berfaedah selain meningkatkan kemahiran komunikasi serta setia kawan antara satu sama lain.

“Reaksi kanak-kanak tersebut sangat baik, mereka kelihatan gembira serta teruja dapat melakukan aktiviti mewarna bersama rakan dan seronok apabila terima hadiah.

“Pertandingan ini adalah anjuran MHPSS dengan kerjasama petugas barisan hadapan yang bertugas di Zon Merah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Ketua Penolong Pengarah (Psikologi Kaunseling) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, berkata pihaknya turut melaksanakan pelbagai aktiviti untuk mengisi masa lapang pesakit di pusat kuarantin berkenaan.

“Antaranya aktiviti ‘Psychoeducation’ kepada pesakit berkaitan tajuk-tajuk seperti gaya daya tindak, pengurusan stres, pengurusan kemarahan, teknik pernafasan dalam, teknik relaksasi dan sebagainya.

“Ianya dijalankan secara berperingkat kepada semua pesakit bagi membantu mereka menanggani isu psikologi yang dihadapi sepanjang berada di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0,” jelasnya.

-RI