Tertuduh Harus Diberi Peluang Semak Semula Kuasa Budi Bicara AG untuk Mendakwa

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Jun (Malaysiaaktif) -Seorang tertuduh harus diberi peluang untuk menyemak semula kuasa budi bicara Peguam Negara bagi mengelakkan salah faham terhadap undang-undang atau ia diguna pakai secara salah kerana keputusan untuk mendakwa boleh membawa kesan yang besar kepada individu terbabit.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam penghakiman setebal 55 muka surat, berkata kesan akibat pendakwaan adalah termasuk kehilangan reputasi, tekanan serta gangguan dari segi pekerjaan dan hubungan kekeluargaan.

"Keputusan Peguam Negara untuk mengemukakan pendakwaan mampu memberikan kesan yang besar kepada tertuduh, pihak yang terjejas dan masyarakat secara amnya," kata beliau.

Beliau berkata dalam kes-kes yang jarang berlaku dan disifatkan sebagai luar biasa, kuasa budi bicara Peguam Negara adalah tertakluk kepada semakan kehakiman.

Katanya oleh itu, tertuduh harus diberi peluang menyemak semula kuasa budi bicara Peguam Negara dalam mengemukakan pendakwaan jika dikhuatiri berlaku salah faham terhadap undang-undang atau diguna pakai secara salah.

Tengku Maimun berkata demikian dalam penghakiman mahkamah yang memutuskan bahawa bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr N. Sundra Rajoo berhak mendapat imuniti daripada pendakwaan bagi tindakan yang dilakukan beliau semasa memegang jawatan itu.

Ketua Hakim Negara berkata adalah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk menghalang sistem keadilan jenayah digunakan sewenang-wenangnya terhadap individu tertentu dan mengelakkan orang yang tidak bersalah melalui prosiding jenayah jika Peguam Negara gagal mengguna pakai kuasa budi bicaranya selaras dengan kehendak undang-undang berhubung pendakwaan.

"Untuk membenarkan sesuatu perkara tanpa merit diteruskan melalui mahkamah jenayah akan memberi kesan yang besar kepada kerjaya dan kehidupan tertuduh selain menyebabkan usaha serta masa yang tidak perlu selain kos tambahan dana awam,” katanya.

Penghakiman itu menyebut dalam kes yang wajar atau luar biasa, adalah lebih baik membatalkan keputusan untuk mendakwa sebelum prosiding jenayah bermula agar kesukaran yang tidak sepatutnya berlaku terhadap tertuduh akibat pendakwaan salah, dapat dikurangkan.

Pada 30 April lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tengku Maimun membenarkan rayuan Sundra Rajoo dan mengisytiharkan bahawa beliau berhak mendapat imuniti daripada pendakwaan bagi tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

Sundra Rajoo, 65, yang menjadi Pengarah AIAC dari 2010 hingga 2018, memenangi kesnya di peringkat Mahkamah Tinggi namun Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan itu selepas membenarkan rayuan Kementerian Luar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kerajaan dan Peguam Negara.

Beliau kemudian memperoleh kebenaran untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 22 Januari tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana AIAC berjumlah lebih RM1 juta terhadap Sundra Rajoo selepas memutuskan bahawa beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Sundra Rajoo berhak mendapat imuniti daripada pendakwaan bagi tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

-- BERNAMA