COVID-19 Tak Gugat Raih Keputusan Cemerlang

Laporan/foto: Judy Henry/Nur Hani Abdullah (Sarawak)

SAMARAHAN, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Pandemik COVID-19 yang melanda negara bukan penghalang kepada para pelajar yang mendudukinya untuk meraih keputusan membanggakan.

Nur Fatihah Salfia Abdul Safri, 18, bekas pelajar Sekoah Mengngah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen memperoleh keputusan empat A dan lima B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Menurut Fatihah, situasi yang paling mencabar semasa membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan adalah hadir ke kelas maya dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya tidak dapat fokus sepenuhnya semasa sesi kelas PdPR kerana kurang memahami apa yang diajar melalui video dan tempoh masa pembelajaran dalam talian juga amat terhad dan semasa proses pembelajaran, sesi soal jawab tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur segala pengorbanan berbaloi dan mendapat keputusan yang membanggakan ibu dan bapa saya," katanya yang ditemui ketika menyemak keputusan semalam.

Sementara itu bekas pelajar SMK Bekenu, Nur Syazana Ahmad Zaidi, 18, yang memperoleh keputusan dua A dan tujuh B, bersyukur dengan keputusan yang diterimanya.

“Cabaran utama SPM 2020 apabila hari peperiksaan beberapa kali ditangguhkan disebabkan keadaan COVID-19 yang belum terkawal pada tahun lepas.

“Penangguhan itu membuat saya berasa cemas yang akhirnya sedikit hilang fokus dalam tempoh membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan dan tidak semua mata pelajaran diajar dengan kaedah PdPR," katanya yang menyifatkan penglibatan guru yang lebih banyak memberikan latihan meningkatkan kemahirannya dalam menjawab soalan SPM.

Fatihah dan Syazana turut menyatakan bahawa tidak ada gangguan semasa PdPR kerana capaian internet di kawasan kampung mereka adalah memuaskan.

-ZS