Bantuan Kos Ambulans untuk Bawa Warga Emas ke PPV

Laporan/foto: Fadillah Abdul Latif (Muar) 

MUAR, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Bencana Daerah Muar menawarkan bantuan kos ambulans sehingga RM100 bagi membantu golongan warga emas yang tidak berkeupayaan (terlantar) untuk hadir menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurut Pegawai Daerah Muar Mustaffa Kamal, bantuan tersebut diwujudkan selepas beliau melihat sendiri kesusahan anak-anak yang terpaksa menyewa ambulans bagi memastikan ibu bapa mereka yang terlantar dapat hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV yang mana ia membebankan golongan yang kurang berkemampuan.

"Inisiatif yang diperkenalkan ini dijangka memberi manfaat kepada golongan warga emas di daerah Muar yang kurang berkemampuan untuk hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Selain itu, ia juga merupakan alternatif awal yang dilaksanakan sebelum pasukan bergerak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beroperasi dengan memberi suntikan secara program khidmat masyarakat," katanya ketika dihubungi MalaysiaAktif di pejabat beliau, di sini baru-baru ini.

Menurut Mustafa, mana-mana individu yang memerlukan bantuan ambulans untuk ke PPV boleh membuat permohonan tempahan di Bilik Gerakan Bencana Muar, dua hari sebelum tarikh janji temu suntikan vaksin.

"Bagi individu yang telah membelanjakan kos perkhidmatan ambulans pula, mereka boleh menghantar salinan resit ke Bilik Gerakan Bencana Muar melalui pesanan WhatApps di talian 016-645 3822.

"Talian ini akan beroperasi mulai pukul 7.00 pagi sehingga 11.00 malam dan pembayaran akan dibuat setelah proses pengesahan dilakukan," ujarnya.

-NI-