Proses Vaksinasi di Perlis Berjalan Lancar

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Perlis antara negeri yang berjaya dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, beliau berpuas hati dengan kelancaran operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020 yang memuatkan kapasati terbesar di negeri ini sehingga 1,600 suntikan sehari yang secara tidak langsung membolehkan proses vaksinasi berjalan lancar dan sistematik.

"Sehingga 12 Julai 2021, hampir 56 peratus iaitu 144,552 daripada jumlah penduduk di negeri ini telah mendaftar untuk menerima vaksin.

"Daripada jumlah tersebut, sehingga 13 Julai 2021, seramai 80,780 orang penduduk di negeri ini telah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama manakala 57,268 orang lagi telah lengkap menerima kedua-dua dos," katanya semasa sidang media di PPV Dewan 2020 Kangar, di sini semalam.

Datuk Ahmad Amzad Hashim melihat proses suntikan vaksin di Dewan 2020 Kangar. Datuk Ahmad Amzad Hashim melihat proses suntikan vaksin di Dewan 2020 Kangar.



Tambah beliau, secara keseluruhannya seramai 8.1 juta rakyat di negara ini telah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19.

"Melalui laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah suntikan harian seluruh negara melebihi 400 ribu setiap hari bagi sasaran bulan Julai.

"Sekiranya jumlah ini dapat dikekalkan momentumnya, matlamat untuk mencapai imuniti kelompok seperti yang dirancang akan berjaya dilaksanakan," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa negeri ini juga akan menerima 98,200 bekalan vaksin dalam masa yang terdekat.

"Saya amat berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan untuk memudahkan proses suntikan vaksin bagi golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengikut piawaian yang telah ditetapkan," tambahnya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr Izwana Hamzah.

-NI-