BKSS 6.0 Beri Nafas Baharu kepada Rakyat

Laporan/foto: Joshua Amir Sibat (Sarawak)

KUCHING, 16 Jul (Malaysiaaktif) - Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) daripada kerajaan negeri bernilai RM1.4 bilion melibatkan 15 langkah pakej ekonomi, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat dan dilihat mampu memberi nafas baharu kepada penerima yang terkesan rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata antara bantuan yang diberikan bawah BKSS 6.0 ini termasuklah bantuan tunai bagi isi rumah B40, elaun enam bulan kepada petugas barisan hadapan, bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, pemandu e-hailing dan pemain industri pelancongan.

"Dengan pakej bernilai RM1.4 bilion ini, keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi BKSS 1.0 hingga 6.0 kini melebihi RM4.5 bilion dan kaedah pengagihan bantuan disalurkan sama seperti sebelumnya mengikut data penerima BKSS dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)," katanya ketika mengumumkan bantuan tersebut di Wisma Bapa Malaysia, di sini Mei lalu.

Seorang penerima manfaat tersebut Catherine Lina Matahari, 63, menyambut baik inisiatif tersebut dengan menjadikannya sebagai modal memulakan perniagaan kecil di kawasan tempat tinggalnya.

Catherine Matahari kini berniaga di tepi jalan bagi menampung keperluan harian. Catherine Matahari kini berniaga di tepi jalan bagi menampung keperluan harian.



"Saya telah memulakan perniagaan kecil menjual produk makanan di tepi jalan bagi menambah pendapatan dan keperluan di rumah selain mengisi masa lapang setelah usai perkhidmatan sejak 4 tahun yang lalu.

"Detik ini sangat mencabar, wang simpanan semakin berkurang dan punca pendapatan hanya bersandarkan wang pencen serta tekanan emosi mudah berlaku, mujurlah anak-anak banyak membantu selain BKSS 6.0 yang mampu melegakan sedikit bebanan hutang juga keperluan rumah.

"Kita di Sarawak khususnya, perlu bersyukur kerana pemimpin tempatan ambil berat tentang sosio-ekonomi dan kesihatan sejagat biarpun terpaksa menempuh laluan sukar sehingga ke kawasan pedalaman, cuma kerajaan perlu peka dengan keselamatan pasukan sukarelawan yang melaksanakan tugasan sebegini agar isu-isu tidak diingini tidak berlaku serta meminta pasukan berhati mulia ini sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas," kata pesara petugas kesihatan ini semasa ditemui di kediamannya, di sini semalam.

Bagi petugas barisan hadapan di Pusat Jantung Negara Geraldine Mira, 35, beliau tetap bersyukur dan masih mampu tersenyum meskipun menempuh jadual kerja yang padat kerana tidak putus rezeki berdepan situasi pandemik ini malah turut menyumbang bantuan kepada golongan memerlukan sejak PKP 1.0 dilaksanakan.

"Kita perlu bersikap positif, tidak berputus asa dan sentiasa berkongsi rezeki sekiranya mempunyai peluang membantu orang lain.

"Sebaik pengumuman BKSS oleh kerajaan negeri, sedikit kelegaan dirasakan kerana tanggungan ramai, internet bagi anak-anak menghadiri kelas atas talian (PDPR) sahaja sudah agak tinggi, tidak hanya berharap dengan gaji bulanan dan bantuan, saya juga memanfaatkan bakat serta minat sebagai punca pendapatan tambahan dengan mengambil tempahan pelanggan ke atas hasil kulinari serta masakan tradisi," ujar ibu kepada lima orang anak ini.

Bagi seorang ibu tunggal Unis Ginda, 60, yang juga seorang pemilik syarikat, beliau berterima kasih atas keprihatinan pimpinan kerajaan tempatan dengan 15 langkah pakej bantuan yang telah diberikan meskipun proses tuntutan masih kurang jelas, namun pelan perancangan bantuan mampu membangkitkan semula semangat penggiat ekonomi.

Unis Ginda usahawan yang cekal meneruskan perniagaan tanpa membelakangkan arahan kerajaan. Unis Ginda usahawan yang cekal meneruskan perniagaan tanpa membelakangkan arahan kerajaan.



"Demi kelangsungan ekonomi syarikat dan menghormati Prosedur Operasi Standard (SOP) dan usaha kerajaan mengekang penularan pandemik, saya terpaksa mengambil keputusan menghantar pulang dan menamatkan pengambilan tenaga kerja asing dari Indonesia, memperkemaskan asrama pekerja mengikut garis panduan, termasuk mengurangkan perkhidmatan jawatan kurang bekeperluan dan individu berprestasi rendah agar mampu menstabilkan hemat transaksi, keuntungan, liabiliti dan bebanan pengurusan syarikat.

"Faham dengan situasi semasa, saya turut berbincang dan mempertimbangkan beberapa perkara bersama pekerja agar keputusan bukan hanya berpihak pada syarikat tetapi kebajikan pekerja, bantuan kerajaan seperti BKSS inilah yang mendorong dan membakar semangat kami bersama-sama menggerakkan ekonomi, memulihkan kitaran cukai dan tepatnya dengan situasi sekarang menyokong usaha kerajaan membasmi penularan wabak koronavirus ini dengan mematuhi semua garis panduan, SOP dan arahan PKP," ujarnya.

-ZS-