Bakul Makanan PEMULIH Bantu 3,000 Keluarga di Padang Besar

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 17 Jul (Malaysiaaktif) –Seramai 3,000 keluarga menerima manfaat bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diagihkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Besar.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin, program ini merupakan medium terbaik bagi membantu rakyat terutama golongan yang terjejas dalam mendepani cabaran luar jangka berikutan pandemik COVID-19.

“Secara keseluruhan, kerajaan telah memperuntukkan RM300,000 menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Program Bakul Makanan.

"Bagi saya adalah penting untuk menterjemahkan komitmen kerajaan melalui wakil rakyat untuk membantu orang ramai meneruskan kelangsungan hidup sekali gus memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Secara Pandu Lalu di Tapak Bukit Keteri, di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi fasa pertama sebanyak 1,000 bakul makanan telah diagihkan manakala 1,500 lagi akan diagihkan pada fasa kedua.

"Jumlah keseluruhan bakul makanan bagi kedua-dua fasa ini adalah sebanyak 3,000 set.

"Pada hari ini, 500 bakul makanan telah diagihkan secara pandu lalu," ujarnya.

Beliau berkata, kaedah pemberian sumbangan ini adalah langkah terbaik bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan memudahkan gerak kerja JPKK.

"Saya berharap agar peruntukan ini boleh dibuat penambahbaikan dengan pemberian bantuan mengikut keperluan semasa seperti komputer riba atau telefon pintar untuk tujuan pendidikan, bantuan bayaran utiliti dan pemberian wang tunai," tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa daerah Padang Besar bakal memiliki hospital yang dilengkapi dengan sistem internet kebendaan (IoT) yang akan dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).

"Hospital ini akan memuatkan 200 katil dan juga akan digunakan sebagai hospital pembelajaran oleh beberapa universiti tempatan untuk para pelajar fakulti perubatan," jelasnya.

-NI-