Diskaun 50 Peratus Buat Penyewa Premis PBT Pahang

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sharifah Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 18 Jul (Malaysiaaktif) - Kerajaan Negeri Pahang menetapkan pemberian diskaun atau potongan sehingga 50 peratus ke atas sewaan bulanan bagi premis-premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pemberian diskaun ini adalah untuk tempoh selama empat bulan dari Jun hingga  September 2021, yang melibatkan seramai 6,237 penyewa, peniaga, penjaja.

"Perkara ini telah dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas, bertujuan meringankan beban penyewa, peniaga, penjaja susulan kehilangan hasil perniagaan akibat wabak COVID-19 ini.

"Menerusi pemberian diskaun atau potongan ini, misalnya bagi kadar sewaan bulanan tertinggi sebanyak RM9,000 akan menjadi cuma RM4,500 manakala kadar sewaan bulanan terendah RM10 (bagi petak-petak penjaja di pasar) menjadi hanya RM5," katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Menurut Wan Rosdy, melalui pemberian diskaun ini, kesemua PBT di negeri mengorbankan hasil kutipan bulanan kira-kira RM1.3 juta atau RM5.2 juta dalam tempoh empat bulan tersebut.

“Inilah pengorbanan besar yang dilakukan oleh PBT dan adalah diharapkan, para penyewa, peniaga, penjaja yang terlibat dapat turut menghargainya.

"Kami berharap agar pemberian diskaun sehingga 50 peratus ini dapat melegakan dan meringankan beban mereka yang terkesan dari segi hasil pendapatan," katanya.

-ZS-