20 Peratus Penduduk Tenom Terima Vaksinasi Dos Pertama

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

TENOM, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 20 peratus penduduk daerah Tenom menerima vaksinasi dos pertama yang meliputi kira-kira 11,000 orang.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Tenom Dr Francesca Primus Chew, perkembangan tersebut amat baik dan memberi gambaran bahawa penerimaan masyarakat daerah tersebut terhadap suntikan vaksin COVID-19 semakin baik.

“Semenjak Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah dilaksanakan di Mukim Rundum pada 18 Mei lalu, kita melihat perkembangan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan mendapatkan vaksin amat baik terutama bagi warga emas dan golongan yang berisiko tinggi.

Dr. Francesca ketika ditemui media. Dr. Francesca ketika ditemui media.



“Setakat ini sebanyak 24 program CITF telah dilaksanakan yang meliputi pendaftaran dan pemberian vaksin bagi dos pertama dan kedua," katanya ketika ditemui pada program tersebut di Dewan Terbuka Kampung Saga, di sini kelmarin.

Beliau yang juga Penyelaras Program CITF daerah menjelaskan, kejayaan program tersebut adalah disebabkan adanya kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi sama ada dari peringkat persekutuan mahupun negeri bagi menjayakan matlamat kerajaan untuk membentuk imuniti berkelompok dalam kalangan masyarakat.

"Selain pendaftaran dan pemberian imunisasi, program CITF turut menyelitkan sesi taklimat imunisasi kepada penduduk setempat agar masyarakat lebih faham dan bersedia untuk menerima vaksin COVID-19.

"Pada program hari ini, sebanyak 1400 vaksin jenis Sinovac diberikan kepada para penduduk Mukim Saga," katanya.

Hadir sama meninjau proses pendaftaran dan pemberian vaksin di kampung tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Masnah Matsalleh, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Nadzerah Abdullah, Pegawai Daerah Sungkim Rumangun serta Penolong Pegawai Daerah Mas Syazwan Masood.

Proses penerangan dan pendaftaran vaksinsi oleh para petugas Kementerian Kesihatan Malaysia. Masnah (kiri) bertanya khabar kepada salah seorang penduduk yang selesai menerima vaksinasi pada siri lawatan kerja beliau ke daerah Tenom.



-RI