PPV South Key Midvalley Dijangka Tingkatkan Suntikan sehingga 5,000 Dos Sehari

Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/MedKom

JOHOR BAHRU, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi mega South Key Midvalley yang kini telah dibuka bagi membantu mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini dijangka dapat meningkatkan suntikan sehingga 5,000 dos sehari.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, pembukaan PPV itu penting bagi membantu Johor mencapai sasaran 80 peratus rakyat yang mendaftar menerima suntikan vaksin.

“Kita di Johor sudah bersiap sedia dengan kapasiti pemberian suntikan vaksin antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

“PPV mega ini penting kerana kita mengharapkan ia dapat membantu memastikan sasaran menyuntik 80 peratus daripada 2.5 juta rakyat Johor menjelang Oktober nanti tercapai sekali gus berjaya membentuk imuniti kelompok," katanya ketika meninjau persiapan akhir pembukaan PPV integrasi mega tersebut, di sini semalam.

Menteri Besar Johor meninjau ruang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi mega di Mid Valley South Key. Hasni (berbaju putih) meninjau persiapan di ruang PPV integrasi mega di South Key Midvalley.



Tambah beliau, PPV ini akan mula beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 9.00 malam dan mampu memberi suntikan sehingga 5,000 dos sehari.

"PPV South Key Midvalley yang merupakan PPV mega pertama beroperasi di pusat beli-belah di negeri ini merupakan hasil kerjasama dari pihak kerajaan dan swasta menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang turut terlibat dalam membantu menguruskan PPV berkenaan," tambahnya.

Beliau berkata, seluruh negara berbangga dengan pengorbanan masa dan tenaga yang diberikan oleh para sukarelawan dalam membantu negeri dan negara menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini.

"Seramai 283 kakitangan perubatan dan sokongan daripada tujuh buah hospital pakar KPJ iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani membantu melaksanakan proses pemberian vaksin di PPV berkenaan.

"Sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) turut menyumbang tenaga bagi melancarkan proses pemberian vaksin di PPV tersebut," katanya.

Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr. Aman Rabu, Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Abdul Rahman Salleh dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud.

-NI-