30 Warga Asing, Seorang Wanita Tempatan Ditahan Hadir Jamuan Aidiladha

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 21 Jul (Malaysiaaktif) - Pihak polis menahan 30 warga asing dan seorang wanita tempatan yang hadir jamuan Hari Raya Aidiladha di sebuah rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata, pihaknya membuat serbuan di rumah berkenaan setelah menerima maklumat daripada orang awam sekitar pukul 10 pagi semalam.

“Mereka yang ditahan terdiri 29 lelaki dan seorang perempuan warga asing serta seorang perempuan tempatan berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun.

“Daripada 30 warga asing tersebut, empat daripadanya mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan enam orang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh.

“Sementara 20 orang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Warga asing yang ditahan dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut dan permohonan tahanan reman di Mahkamah Majistret Selayang hari ini. Warga asing yang ditahan dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut dan permohonan tahanan reman di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.



Menurutnya, mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut dan akan membuat permohonan tahanan reman di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebak ke jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa; Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, (PPPPB) 2021; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Manakala perempuan tempatan yang turut ditahan itu pula telah dikenakan kompaun RM4,000.00 di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dua video berdurasi 56 saat dan 10 saat yang menunjukkan pihak polis menahan individu dipercayai warga asing yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana hadir di jamuan Hari Raya Aidiladha.

-RI