Sungai Bedaun Sedia Jadi Zon Hijau COVID-19

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Kampung Sungai Bedaun bersedia untuk menjadi zon hijau bebas dari COVID-19 apabila melancarkan kempen Kampung Sungai Bedaun Hijau COVID-19 2021 semalam.

Menurut ketua kampungnya, Rosmani Puteh, kempen itu bertujuan bagi menyeru warga kampung untuk sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Kami bergerak dari rumah ke rumah untuk mengedarkan poster dan pelekat kempen selain memasang sepanduk dan gegantung di simpang-simpang jalan di dalam kawasan kampung bagi menyebarkan mesej perlunya kita memerangi COVID-19 ini.

Pemasangan sepanduk kempen di beberapa lokasi strategik di Kampung Sungai Bedaun. Pemasangan sepanduk kempen di beberapa lokasi strategik di Kampung Sungai Bedaun.



“Kita juga adakan kuiz dalam talian dengan menyediakan hadiah kepada para pemenang dengan harapan kesedaran penduduk kampung mengenai mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu ini dapat kita tingkatkan sekaligus mengurangkan lagi kes COVID-19 di Labuan,” katanya yang ditemui media pada pelancaran kempen di kampung tersebut, di sini semalam.

Jelasnya, pada majlis pelancaran itu turut diadakan penyampaian bantuan bakul makanan kepada warga kampung yang terjejas dengan COVID-19 dan majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias berkata, kempen yang dilaksanakan komuniti Kampung Sungai Bedaun itu memang sesuai pada masa dan situasi di Labuan.

Rosmani (dua dari kiri) bersama salah satu gegantung yang dipasang di Surau kampung itu. Rosmani (dua dari kiri) bersama salah satu gegantung yang dipasang di Surau kampung itu.



“Labuan telah menghadapi serangan COVID-19 yang teruk hingga menjangkiti ribuan warga Labuan dan kerajaan melaksanakan Lockdown, Alhamdulillah perkembangan kes COVID-19 bertambah baik dan Labuan semakin pulih.

“Walau bagaimanapun, kita adakan kempen ini untuk menyeru masyarakat untuk terus mematuhi SOP dan tampil melakukan vaksinasi kerana hanya cara itu sahaja kita mencapai imuniti berkelompok sekaligus memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Tambahnya, beliau mengucapkan tahniah kepada komuniti Kampung Sungai Bedaun, agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran yang membantu menjayakan kempen tersebut serta berharap kempen tersebut berjaya mencapai objektifnya.

Bashir (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada petugas majlis korban. Bashir (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada petugas majlis korban.



-RI