Solat Sunat Aidiladha di Gelanggang Bola Tampar

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Nurul Azirah Mohd Yunus (Kinta)

IPOH, 21 Julai (Malaysiaaktif) - Lebih 80 jemaah di kawasan Taman Klebang Damai menunaikan solat sunat Aidiladha di perkarangan gelanggang bola tampar Taman Klebang Damai, Klebang, di sini semalam.

Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Klebang Damai,  Khairul Zuzaidy Hamsan, berkata inisiatif ini diambil bagi memberi peluang kepada para jemaah di Taman Klebang Damai yang tidak berpeluang untuk menunaikan solat di masjid memandangkan kawasan Klebang agak luas dan pastinya masjid telah mencapai had yang dibenarkan.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha ini telah diberi kebenaran oleh Pejabat Agama Daerah Ipoh dan Balai Polis Chemor selain para jemaah diimamkan oleh Imam Masjid Medan Klebang Restu Ustaz Mohd Najib Arshad.

“Para penduduk yang hadir untuk menunaikan solat sunat ini mula berkumpul di gelanggang tersebut seawal jam 7.45 pagi dengan mematuhi semua garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal, mengimbas kod QR MySejahtera, mengimbas suhu selain siap berwuduk dari rumah dan membawa sejadah mereka sendiri.

Penduduk mengimbas kod QR MySejahtera. Penduduk mengimbas kod QR MySejahtera.



“Para jemaah juga telah dinasihatkan agar tidak membawa bersama kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah dan sekiranya sukar, mereka dinasihati untuk menjalankan ibadah sunat tersebut di rumah,” katanya ketika ditemui selesai menunaikan solat sunat Aidiladha.

Khairul Zuzaidy turut menzahirkan rasa syukur kerana tetap diberikan kesempatan melaksanakan ibadah ini secara berjemaah bagi kali kedua untuk penduduk setempat walaupun negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Perak merupakan negeri yang sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dibenarkan untuk melaksanakan takbir Hari Raya di dalam masjid dan surau.

~RJ~