Telaga Penawar Penyembuh Penyakit

Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan Drahman (Sarawak)

MATU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) - Telaga penawar atau tebah penawar merupakan salah satu tempat bersejarah yang masih kekal terpelihara sehingga kini di Kampung Jemoreng.

Menurut penduduk tempatan Che Iman Shahdan, 65, telaga penawar ini terletak berdekatan dengan Makam Orang Kaya Sergunim yang dahulunya merupakan ketua kaum melanau perempuan yang mempunyai sakti di Kampung Jemoreng.

“Mengikut cerita orang dahulu, telaga penawar atau tebah penawar merupakan air telaga yang boleh menyembuh pelbagai penyakit.

“Ia juga menjadi kunjungan pasangan suami isteri yang ingin mendapat anak, malah ada juga pasangan yang berhasil mempunyai anak dipercayai selepas si isteri dibawa mandi di telaga penawar atau tebah penawar tersebut.

Keadaan Telaga Penawar @ Tebah Penawar. Keadaan Telaga Penawar @ Tebah Penawar.



“Suatu ketika dahulu dikatakan jika orang yang cuba menuba di hulu dan ikan yang berenang ke hilir serta melalui kawasan telaga ini tidak akan mabuk oleh bahan tuba berkenaan,” ujar pesara guru besar Sekolah Kebangsaan Bruan Mapal ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Che Iman, berkata mereka yang ingin mendapatkan rawatan di telaga ini akan dipusingkan duit syiling ke dalam air atau memusingkan paku di sekeliling badan pesakit kemudian melontar syiling atau paku tersebut ke dalam air telaga.

“Menurut cerita penduduk Kampung Jemoreng air dalam telaga penawar tersebut tidak pernah kering walaupun keadaan air sungai yang semakin cetek dan kering,” katanya.

Namun, menurut Che Iman, sejak munculnya agama Islam di Kampung Jemoreng, kepercayaan animisme tidak lagi diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat tetapi peninggalan sejarah tersebut tetap dijaga dengan rapi oleh penduduk Kampung tersebut.

“Saya berharap penduduk kampung di sini dapat terus berganding bahu bagi mengekalkan tinggalan sejarah ini supaya pelancong dari luar kawasan Matu dapat melihat sendiri keunikan tentang sejarah di Kampung Jemoreng,” katanya lagi.

-ZS-