
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Rais Yasin
PAYA RUMPUT 20 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 242 murid menerima Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Negeri Melaka Tahun 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Sungai Udang, di sini kelmarin.

Rais Yasin ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata jumlah itu melibatkan 167 penerima DUN Paya Rumput dengan jumlah peruntukan RM33,400.
“Manakala 75 orang lagi adalah penerima dari DUN Sungai Udang dengan jumlah keseluruhan bantuan RM15,000,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Stadium Hang Jebat, di sini.
Program peruntukan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu merupakan sebagai usaha berterusan kerajaan negeri membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan awal persekolahan anak-anak.
Setiap penerima menerima baucar bernilai RM200 yang boleh ditebus di mana-mana cawangan Hari-Hari, bagi memastikan keperluan asas persekolahan dapat dipenuhi dengan lebih terancang.

Rais Yasin menyampaikan sumbangan.
“Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi manifestasi keprihatinan kerajaan negeri Melaka dalam memperkukuh kebajikan pendidikan serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Selain itu, saya memaklumkan pelaksanaan Program Sunat Percuma khusus untuk penduduk DUN Paya Rumput dan DUN Sungai Udang yang akan diadakan pada 28 Disember dan masih mempunyai kekosongan penyertaan, ibu bapa serta penjaga yang berminat adalah dialu-alukan untuk mendaftar bagi mendapatkan manfaat kemudahan ini,” katanya.
-RI





