
Laporan/foto: Hidayah Ghazali (Padang Terap)
KUALA NERANG, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Bagi masyarakat di sekitar daerah Padang Terap, nama Nordin Ahmad, 56, peniaga gerai Rempah Ratus dan Herba Asli bukan lagi asing dalam kalangan pengunjung tegar pasar pagi di Pekan Naka di sini.
Istimewanya, gerai ini mempunyai daya tarikannya tersendiri apabila Nordin bersedia untuk berkongsi ilmu dan tidak lokek memberikan petua kepada pelanggan yang datang mencari penawar alternatif bagi masalah kesihatan tertentu, seperti lenguh badan, penjagaan ibu berpantang, hinggalah ramuan untuk kesegaran badan.
Konsultasi percuma ini turut membantu para pelanggan mengenal pasti dan mendapatkan produk yang bersesuaian dengan masalah kesihatan yang dihadapi.

Pelbagai herba yang sukar ditemui turut dijual di gerai Nordin Ahmad.
Bagi Nordin, perniagaan yang diusahakannya dengan menggunakan modal sendiri itu bukan sekadar bagi mencari rezeki, sebaliknya merupakan satu amanah untuk mengekalkan khazanah alam semula jadi agar tidak ditelan zaman.
Menurut beliau pelanggan mahukan herba asli yang bersih, menyebabkannya amat teliti memilih bekalan herba kampung yang diperoleh daripada pencari hasil hutan tempatan yang mahir.
“Antara produk yang sering menjadi buruan pelanggan di gerainya termasuklah akar-akar kayu tradisional, ubat periuk serta dedaun herba mandian,” katanya ketika ditemui di Nat Naka, kelmarin.
Beliau turut mengakui cabaran terbesar perniagaan herba tradisional iaitu kesukaran menarik minat generasi muda kerana mereka lebih memilih rawatan serta ubat-ubatan moden.
“Kebanyakan pelanggan tetap kami terdiri daripada golongan veteran dan dewasa,” ujarnya.
Walaupun mengharungi era perubatan moden, beliau tetap optimis bahawa herba tradisional mempunyai nilai yang tinggi sekiranya terus dipelihara dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
-RI







