Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Terus Amal Kawalan Kendiri Ketika Lapor Isu Bunuh Diri – Fahmi

By 13 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Pengamal media disaran untuk terus melakukan kawalan kendiri ketika melaporkan berita insiden terutama berkaitan isu bunuh diri.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kementerian Komunikasi (KK) juga bersedia menyokong pertubuhan seperti Malaysia Press Institute (MPI) untuk melaksanakan latihan kepada pengamal media agar etika kewartawanan boleh dipertingkat.

“Kita ambil sikap biarlah rakan-rakan media melaksanakan kawalan kendiri, bukan hanya (bergantung kepada) tindakan daripada kerajaan (semata-mata). Ini perkara yang lebih murni dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dan KK, di sini semalam.

Fahmi dalam pada itu berkata platform media sosial juga perlu terus bersama dalam menangani isu tersebut kerana insiden bunuh diri adalah suatu hal yang amat sensitif.

“Kadangkala bukan dari media sahaja tapi kandungan yang sepatutnya diturunkan tetapi dibenarkan untuk viral,” katanya.

Beliau berkata perkara itu mungkin disebabkan oleh kekangan bahasa yang digunakan dalam sesuatu kandungan di platform-platform tertentu.

Fahmi berkata banyak kandungan berkaitan bunuh diri misalnya ditulis dalam bahasa tempatan dan keadaan itu tidak dapat dikesan oleh kecerdasan buatan (AI) yang digunakan oleh penyedia platform dalam menapis kandungan untuk tujuan penurunan.

Justeru, beliau berharap Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dapat menjemput platform media sosial lain untuk turut serta dalam sesi libat urus seperti ini pada masa hadapan untuk perancangan tindakan yang lebih menyeluruh.

-FN

Tinggalkan komen anda