Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Rakan Muda MADANI Platform Perkukuh Perpaduan, Bangunkan Generasi Berdaya Saing

By 5 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan Rakan Muda MADANI bukan sekadar penjenamaan semula program belia, sebaliknya wadah membentuk generasi muda berteraskan nilai, perpaduan dan semangat kemanusiaan selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berkata pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), malah perlu diperkukuhkan dengan nilai moral, akhlak serta semangat juang dalam kalangan generasi muda.

“Terasnya apa? Pembangunan ya, kemajuan ya, Teknologi baru ya, Digital, AI, ya, tapi terasnya adalah nilai. Nilai MADANI maknanya ada kekuatan, keyakinan, akidahnya. Ada akhlaknya, ada semangat, daya juangnya. Ada roh untuk menjaga keluarga mereka, masyarakat mereka, dan persekitaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rakan Muda MADANI di Padang Awam Taman Keladi, Sungai Petani di sini kelmarin.

Anwar menegaskan program belia perlu menjadi platform yang merangkul seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bagi memperkukuh keharmonian negara.

“Apa petandanya? Ialah menerima kenyataan yang ada, merangkul semua kekuatan, dan bila ada perhubungan, kerjasama, ada sifat kemanusiaan dan ihsan, menghormati, memuliakan, dan ini harus diterapkan sejak muda,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa naratif yang memecahbelahkan masyarakat atas dasar kaum perlu ditolak kerana kemajuan negara hanya dapat dicapai melalui perpaduan dan kestabilan.

“Negara ini mesti diselamatkan. Malaysia mesti jadi negara hebat, mesti maju. Syaratnya, kita bersatu dan anak muda menjadi penentu,” katanya.

Anwar turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pembinaan Dewan Terbuka Serbaguna di Padang Awam Taman Keladi bagi manfaat komuniti setempat dan aktiviti belia.

“Kalau tanah ini diluluskan, kita boleh buat dewan serbaguna dan kita luluskan permulaannya RM2 juta untuk memulakan,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda