Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kampung Budu Gabung Sektor Agromakanan dan Pelancongan Desa

By 45 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Emran Ismail (Lipis)

LIPIS, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Projek Padi Kampung Budu di Benta, di sini terus menunjukkan perkembangan positif sebagai antara inisiatif kerajaan negeri Pahang dalam memperkukuh keterjaminan makanan menerusi pembangunan tanah terbiar di bawah Program Lembaran Baharu 2026.

Projek melibatkan kawasan Padi Paya Beluan dan Padi Tanah Tinggi itu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pejabat Pertanian Daerah Lipis bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan melalui penggunaan amalan pertanian moden serta pemuliharaan kawasan sawah.

Projek berkenaan mencatat perkembangan memberangsangkan apabila pengeluaran padi semakin meningkat dan berjaya menghasilkan produk tempatan seperti Beras Baru Paya Beluan yang kini giat dipasarkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Budu.

Inisiatif berkenaan turut membuka peluang menjana pendapatan kepada penduduk setempat selain mengoptimumkan penggunaan tanah yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.

Selain sektor agromakanan, kawasan sawah di Kampung Budu turut berpotensi sebagai tarikan pelancongan desa berikutan pemandangan alam semula jadi dan suasana kampung yang masih terpelihara menjadikan lokasi ini sesuai dikunjungi oleh pelancong, pencinta alam dan penggemar fotografi.

Seorang pengunjung, Fazli Roslan, 38, berkata kawasan sawah di Kampung Budu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan desa baharu di daerah Lipis.

“Pemandangan sawah yang cantik dan suasana kampung yang tenang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung. Lokasinya juga mudah diakses dan sesuai dijadikan tempat singgah bagi mereka yang melalui kawasan ini,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda