
Laporan/foto: Aini Aziz/Albaihaki Awang (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Cadangan penubuhan TVET Collaboration Hub (TCH) bagi memperkukuh kerjasama antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti menjadi fokus perbincangan dalam Program TVET Collaboration Gateway 2026 yang berlangsung, di sini hari ini.
Inisiatif yang dicadangkan itu bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih tersusun antara pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem TVET, sekali gus menyokong usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran semasa dan masa hadapan.
Lebih 40 wakil industri bersama agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pemegang taruh strategik menghadiri program anjuran bersama Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dan Politeknik Hulu Terengganu (PHT) bagi membincangkan hala tuju serta memperkukuh kerjasama ke arah merealisasikan inisiatif tersebut.
Program itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti (BKIK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi, Mohd Zuhaimi Zolkifli.
Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Ts. Nadzri Che Kami berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk menyelaras hala tuju, berkongsi pandangan dan membina kesepakatan antara institusi pendidikan dan industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran.
“TVET tidak boleh digerakkan secara bersendirian. Kejayaan agenda ini memerlukan penglibatan aktif semua pihak termasuk industri, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti bagi memastikan pembangunan modal insan yang relevan dengan kehendak industri,” katanya.
-AA-




