
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor melancarkan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2026-2030, hari ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata dasar tersebut dibangunkan menerusi kajian lapangan menyeluruh melibatkan komuniti OKU, penjaga, pertubuhan bukan kerajaan, akademia dan agensi kerajaan.
Menurutnya, dasar berkenaan berteraskan prinsip maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta demi kesejahteraan masyarakat.
“Pelaksanaan dasar ini dipandu oleh lima teras utama iaitu kesejahteraan sosial, pendidikan sepanjang hayat, pembangunan ekonomi, aksesibiliti serta tadbir urus dan advokasi OKU,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Anfaal berkata kerajaan negeri akan memastikan setiap agensi, pihak berkuasa tempatan dan pemegang taruh melaksanakan dasar tersebut secara telus serta berkesan.
Kerajaan negeri juga katanya mahu memastikan golongan OKU dilibatkan dalam sektor ekonomi, diberi peluang pekerjaan dan tidak terus dilihat melalui lensa kebajikan semata-mata.
Beliau berkata komuniti itu kini diiktiraf sebagai rakan strategik setara dalam pembangunan negeri dan kemajuan sebenar Selangor bukan hanya terletak pada pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata, tetapi sejauh mana setiap rakyat mendapat peluang saksama.
“Semua pembangunan baharu perlu mengutamakan reka bentuk sejagat, manakala aspek pematuhan akan dipantau bagi menjamin aksesibiliti dan inklusiviti,” katanya.
-FN




