Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Labuan akan Dipromosi dengan Kekuatan 5S

By 17 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan akan memberi lebih penekanan dan perhatian untuk mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan berasaskan 5S.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, 5S merujuk kepada ‘Sun’, ‘Sand’, ‘Seafood’, ‘Shopping’ dan ‘Sport Tourism’.

“5S merujuk kepada ‘Sun’ iaitu ‘Sunrise’ fenonema matahari terbit dan ‘Sunset’ iaitu matahari terbenam, ‘Sand’ pantai yang bersih dan panjang, ‘Seafood’ makanan laut segar dengan harga yang munasabah, ‘Shopping’ pulau bebas cukai dan ‘Sport tourism’ akitiviti sukan bagi memantapkan industri pelancongan di pulau ini sepanjang tahun 2024.

“Dengan adanya 5S di Labuan ini, anda boleh menikmati pengalaman keindahan alam semulajadi yang ada di Labuan di samping menikmati makanan laut yang segar serta mampu beli yang sudah pastinya menjadi salah satu tarikan melancong ke Labuan,” katanya berucap semasa Majlis Makan Malam Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Games Ping Pong 2024 di sini semalam.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua atlet dan pasukan yang menyertai Kejohanan (MAKSAK) Games Ping Pong 2024 yang julung kali diadakan di Labuan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran para tetamu serta atlet daripada 15 ahli Gabungan MAKSAK Malaysia dan terima kasih atas sokongan padu serta kerjasama erat yang telah diberikan kepada MAKSAK Labuan dalam penganjuran program Kejohanan ini,” katanya.

Hadir sama menyerikan majlis adalah Ketua Setiausaha Negara merangkap Yang Dipertua MAKSAK Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Datuk Seri Wan Dahlan Abdul Aziz.

-ZS-

Tinggalkan komen anda