Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerakSains & Teknologi

Tanaman Fertigasi Ringankan Beban Sara Hidup

By 1 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Fatkhulmoin Robiki (Hilir Perak)

BAGAN DATOH, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Penanaman melalui kaedah fertigasi merupakan pertanian moden yang boleh menjanakan keuntungan kepada petani. Nutrien atau baja cecair dialirkan ke pokok melalui saluran pengairan yang diukur dengan sukatan masa tertentu mengikut pembesaran pokok.

Menggunakan media tanaman seperti sekam padi, cocopeat (sabut kelapa) atau campuran keduanya, kaedah ini lebih mudah, selesa dan tidak memenatkan.

Kaedah ini dilakukan oleh seorang pengusaha, Asmawi Sambering, 43. Semangat kental Asmawi yang juga merupakan mantan Ketua  Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh, untuk menambah sumber pendapatan keluarganya berhasil apabila menceburi bidang tersebut secara beransur selama lebih kurang tiga tahun.

Asmawi mengusahakan tanaman seperti cili, timun, kacang panjang, petola, daun kucai, dan daun sup menggunakan cocopeat ini secara sendiri di samping dengan bantuan khidmat nasihat oleh Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

 

fert

 

Menurutnya, sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 telah dibelanjakan untuk projek tanaman di kawasan rumahnya sejak mula hingga sekarang. Hasil jualan timun dengan 200 pokok sahaja selama tiga musim boleh mencecah kira-kira RM2,000 setahun dan ini tidak termasuk tanaman lain lagi.

“Walaupun kaedah ini memerlukan kos yang tinggi namun modal hanya perlu dikeluarkan sekali sahaja dan di waktu yang sama dapat menghasilkan pulangan yang lumayan terutamanya dengan penanaman berskala besar,” jelas Asmawi.

Tambahnya, penanaman secara fertigasi ini turut menghadapi cabaran dan halangannya yang tersendiri.

“Cabarannya adalah seperti serangan serangga perosak seperti lalat buah, ulat pokok dan hamama yang sering menyerang tanaman. Saya hanya menggunakan bahan organik untuk mengelakkan tanaman dari diserang oleh serangga bagi mengekalkan keaslian hasil tanamannya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai masa hadapan tanaman fertigasinya, Asmawi ingin meluaskan tanamannya dan menjadi pengusaha yang berjaya.

“Projek tanaman cili ini boleh bagi pendapatan lumayan. Tetapi, perlu dibuat dalam kuantiti yang banyak. Kalau buat sedikit, tidak berbaloi. Saya berharap agar saya dapat meluaskan tanaman dan menjadi pengusaha yang berjaya suatu hari nanti,” katanya.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda