Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Berbeza Agama Tidak Halang Bersama Keluarga Untuk Krismas

By 24 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUCHING  — Sekitar tahun 1991, apabila Mohammad Azlan Charles Abdullah menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam, anggota keluarganya tidak membantah keinginannya itu.

Mohammad Azlan amat bertuah kerana nenek dan ayahnya (kini sudah meninggal dunia) serta ibunya menerima dengan hati terbuka hasratnya itu sambil mengharapkan perbezaan agama itu nanti tidak akan menjejaskan hubungan kekeluargaan mereka.

Kini pada usia 46 tahun, Pegawai Perhubungan Awam di Hospital Putrajaya itu tidak pernah melupakan pesanan tersebut malahan sambutan Hari Krismas amat dinanti-nantikannya sekeluarga.

Mohamad Azlan, yang mempunyai darah Iban daripada sebelah mendiang bapa, dan Cina daripada sebelah ibunya, bersama-sama isteri serta tiga anak pulang ke Kuching pada sambutan Hari Krismas, amalan wajib mereka sekeluarga setiap tahun.

“Saya insan bertuah, setiap tahun Hari Raya Aidilfitri saya sambut bersama keluarga mentua di Klang, Selangor, manakala pada Hari Krismas saya akan pulang ke Kuching untuk bertemu dengan ibu, abang, adik perempuan serta sanak saudara yang lain.

“Sebelum ini pun ketika berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan Bahagian Limbang selama empat tahun, sudah jadi kebiasaan untuk kami sekeluarga pulang ke Kuching memeriahkan sambutan Hari Krismas bersama keluarga di sini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Kemeriahan sambutan Hari Krismas amat dirasai apabila rumah yang terletak di Jalan Arang Off Jalan Dogan, dekat sini riuh-rendah dengan kehadiran lebih 15 orang anggota keluarga tersebut.

Malahan mereka sama-sama bergotong-royong mengemas serta menghias rumah, menghias pokok krismas serta menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu yang ‘ngabang’ atau berkunjung pada hari tersebut.

Mohammad Azlan berkata tradisi memberi hadiah sesama anggota keluarga juga diteruskan, beliau sendiri ada membelikan hadiah yang kebiasaannya akan dibuka pada ‘boxing day’ nanti.

“Memang seronok setahun sekali dapat pulang berkumpul beramai-ramai berjumpa terutamanya dengan emak, abang, adik perempuan, anak-anak saudara. Bagi saya itu keseronokan sambutan Hari Krimas selain kehadiran rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya.

Ketika ditanya penerimaan isteri serta tiga anaknya, Mohammad Azlan berkata beliau amat bertuah kerana keluarganya memahami serta menyokong keputusan serta turut sama pulang ke Kuching bagi memeriahkan sambutan Hari Krismas.

“Sikap bertoleransi sudah lama saya pupuk dalam keluarga, sama seperti di Sarawak di mana perkahwinan campur sudah menjadi perkara biasa di sini. Apa yang saya nampak anak-anak juga boleh bercampur gaul tanpa sikap prejudis namum masih tahu batas halal dan haram,” katanya.

Mohammad Azlan berkata kini seorang anak saudaranya juga telah memeluk Islam, menambah kepelbagaian dalam keluarga tersebut dan yang pasti hubungan kekeluargaan kekal terjalin erat.

— Oleh Noor Bakhtiar Ahmad/ BERNAMA

Tinggalkan komen anda