Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Sambutan Luar Biasa Jualan Sentuhan Rakyat

By 21 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto: Khairunisa A. R (Jasin)

JASIN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Program Jualan Sentuhan Rakyat yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran menyebabkan ramai penduduk di sekitar daerah sini berpusu-pusu membeli di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jasin, siang tadi.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah menjelaskan beliau tidak menjangkakan sambutan diterima cukup menggalakkan.

Antara barangan yang dijual murah sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di sini.

Antara barangan yang dijual murah sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di sini.

“Saya tidak menjangkakan sambutan luar biasa dan ada juga yang mengeluh kerana tidak dapat membeli minyak dan ayam segar hari ini kerana telah habis dibeli pengunjung-pengunjung yang datang lebih awal.

“Disebabkan sambutan yang sangat baik, saya merancang untuk mengadakan program ini sebulan dua kali,” ujarnya.

Sambutan luar biasa menyebabkan 4000 paket minyak masak habis dijual dengan harga RM2.40 sepeket. Sementara itu ayam segar yang dijual pada harga RM10 seekor dengan purata berat 1.7 kilogram seekor habis dalam masa satu jam sahaja.

Penyelaras Program, Jezlee Pit, cukup berterima kasih kerana program ini mendapat kerjasama cukup baik daripada pelbagai pihak seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kesemua peserta program ini tidak dikenakan bayaran tapak, mereka cuma perlu membawa dan menjual barang keperluan harian dengan harga berpatutan namun sebelum meletakkan harga, mereka perlu tinjau harga pasaran di kawasan Merlimau dan barangan harus dijual dengan harga lebih murah,” ujar Jezlee.

Pengarah (LKIM) Melaka, Rosli Mustapa berkata, “Kami bawa empat jenis ikan hari ni iaitu kembung, cencaru, selar dan selayang.

“Dalam tempoh satu jam, 100 kilogram ikan habis dijual, ikan kembung dan selar dijual pada harga RM9 sekilogram manakala cencaru dan selayang pada harga RM7 sekilo”.

“Ikan kami dibekukan cara teknologi penyejukbekuan cepat individu (IQF) yang merupakan teknologi terbaik untuk bekukan ikan. Teknologi ini untuk mengawal kesegaran ikan,” jelas Rosli.

Pekerja Kilang Nurul Khairunnissa Md Zin, 31, menyatakan dia mendapat makluman program ini daripada kawannya dan dia teruja dengan harga murah yang ditawarkan.

Sazila (depan) berharap program ini diteruskan kerana membantu rakyat mengurangkan pembelanjaan harian.

Sazila (depan) berharap program ini diteruskan kerana membantu rakyat mengurangkan pembelanjaan harian.

“Saya datang dengan kawan-kawan dan dapat membeli beras dengan harga murah dari biasa, syukur dapatlah jimat sedikit duit belanja barang dapur,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Sazila Abu Bakar, 43, merupakan seorang peniaga amat berpuas hati dengan tawaran yang cukup berbaloi ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan harga yang ditawarkan tapi sempat beli gula dan minyak sahaja, ayam segar cepat sangat habis.

Saya cadangkan untuk akan datang seharusnya penjual perlu letakkan had belian supaya pengunjung lain turut dapat membelinya,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda