Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurRencana & PendapatWilayah Persekutuan

[VIDEO] – Budak Kerinchi Raih Grand Slam

By 31 Januari 2018Tiada komen9 minit bacaan

Laporan & foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Malaysiaaktif) – “Persepsi orang ingat saya ni anak orang kaya. Padahal saya 16 beradik yang duduk setinggan di Kerinchi.

“Mak, ayah, isteri dan anak-anak yang banyak memberi inspirasi. 13 tahun mereka sanggup berkorban, terima dan selami minat saya. Mereka tahu risiko untuk saya pergi ialah kematian atau pulang cacat.”

Demikian kata Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau Qobin, 36 yang kini bergelar Penjelajah Grand Slam pertama Malaysia, kedua di Asia Tenggara, umat Islam ketiga dan termuda di dunia yang berjaya menamatkan penjelajahan tersebut ketika ditemui di rumah ibunya di Kerinchi pada Rabu.

Jelajah Grand Slam

Qobin menjelaskan Penjelajah Grand Slam perlu mendaki sebanyak tujuh puncak gunung dan tujuh benua, selain perlu berski di Kutub Utara dan Kutub Selatan sejauh 111km.

“Masa tawan Gunung Everest pada 2004, saya tak tahu pun pasal Grand Slam. Saya hanya nak tawan tujuh puncak tertinggi dan tujuh benua yang dipanggil “7 Summits”.

“Saya mulakan pendakian tujuh puncak pada 2010. Ambil masa 10 tahun jugalah. Setelah berjaya menawan Gunung Everest pada 2004, kemudian saya berhenti selama enam tahun. Pada 2010, saya ke Gunung Kilimanjaro di Benua Afrika kemudian Gunung Aconcagua di Amerika Selatan.

Qobin turut menjelaskan bahawa ada misinya yang gagal namun dia tetap tidak patah semangat untuk meneruskan jelajahnya.

“Saya pernah gagal tawan Gunung Mc Kinley oleh sebab dah enam tahun meninggalkan sukan ekstrem ini. Dengan keadaan gunung bersalji, kaki pula melecet teruk sampai di Kem 3, saya dah tak boleh berjalan. Waktu itu, hanya dua daripada sembilan pendaki yang berjaya sampai puncak.

“Kemudian saya ke Gunung Vinson Massif di Antartika, Gunung Mc Kinley sekali lagi pada Mei 2011, dan cuba mendaki Gunung Elbrus di Benua Eropah sebanyak tiga kali oleh sebab masalah ejen selain keadaan cuaca yang kurang baik.

“Setelah berjaya tawan Elbrus, masa tu kiranya saya dah tamat 7 Summits. Dari segi Kosciuszko, Australia, saya jadi orang ketiga. Tetapi ada satu lagi, yang diiktiraf oleh 7 Summits Years, iaitu Gunung Carstenz Pyramid, Australia, yang berjaya saya tawan pada Mac 2014,” jelasnya.

Qobin turut berkongsi cerita Grand Slam ini bermula apabila Kelab Ekspedisi 7 Benua Malaysia (KE7B) ingin menghantar pendaki negara, Shahrom Abdullah ke Kutub Selatan.

Qobin (tengah) bersama Shahrom (kanan). Foto: Qobin

Qobin (tengah) bersama Shahrom (kanan). Foto: Qobin

“Balik dari Kutub Selatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minta kalau boleh setiap tahun KE7B ni melahirkan ikon baharu dalam sukan ekstrem.

“Saya ambil amanah ini sebagai satu peluang untuk terus mengembara dengan membawa nama KE7B dan ikon baharu untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

“Saya buat latihan di Norway bersama Shahrom. Dua bulan ski di Jepun sementara tiga bulan dengan kursus dan terbang ke Kutub Utara.

“Kutub Utara ini, permukaannya laut. Ibarat ais beku di atas laut. Titik Kutub Utara sentiasa berubah pada setiap masa, sebab tu di situ ada bebola bulat. Selama tujuh hari ski, sejauh 111km akhirnya pada 20 April 2017 kami sampai di titik Kutub Utara.

“Balik dari Kutub Utara cabaran memang teruk. Dengan suhu -30 hingga -40 darjah celcius, dalam masa 5 hingga 10 minit jari kita boleh beku. Tetapi syukur kami harungi semua cabaran dengan ilmu, dan latihan,” ujarnya.

Qobin turut berkongsi pada mulanya tiada perancangan untuknya ke Kutub Selatan. Tetapi apabila memikirkan misi tersebut boleh menjadikannya penjelajah Grand Slam pertama di Malaysia, maka misinya diteruskan.

Qobin ketika selamat tiba di KLIA. Foto: Qobin

Qobin ketika selamat tiba di KLIA. Foto: Qobin

“Saya ingat nak pergi hujung 2018. Tetapi ada rezeki dengan duit simpanan sendiri RM160,000 selain pada November 2011 yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudi melancarkan ekspedisi ini saya teruskan jelajah ini.

“Kemudian saya buat semakan, rupanya nama saya diletakkan dalam Wikipedia sebagai orang yang ke 60 sebagai Penjelajah Grand Slam di dunia. Tak terniat untuk dinobatkan sebagai Penjelajah Grand Slam Pertama Malaysia tetapi saya berjaya menamatkan misi di Titik 90 Darjah Kutub Selatan pada 11.05 pagi waktu Malaysia pada 28 Disember lalu.

“Pertama di Malaysia. Kedua di Asia Tenggara, dan umat Islam ketiga dan termuda di dunia,” ujarnya.

Everest, Mc Kinley Cabaran Terbesar

Selama 13 tahun menjelajah, cabaran paling payah bagi Qobin ialah Gunung Mc Kinley di Amerika Utara, dan Gunung Everest kerana oksigen yang kurang, berketinggian 7000 meter ke atas, serta berdepan risiko kematian.

“Namun saya pergi dengan keadaan yang bersedia, dengan latihan, ilmu pendakian, pergunungan, ilmu ekspedisi, ski, pemantapan jati diri hidup di tempat yang sejuk.

“Masa di Everest, saya mengalami tekanan mental yang sangat dahsyat terutama setelah berjalan lebih 10 hingga 15 jam. Apabila sampai ketinggian 8000 meter, saya rasa seperti berhasulinasi. Tatkala badan sudah tidak berdaya, tiba-tiba banyak persoalan bermain di fikiran, apa sebenarnya yang saya buat di situ?

Qobin menyifatkan Everest dan Mc Kinley merupakan cabaran yang paling payah

Qobin menyifatkan Everest dan Mc Kinley merupakan cabaran yang paling payah. Foto: Qobin

“Ketika itu saya hanya ingin pulang ke rumah untuk tidur. Lepas berehat seketika dan bangun namun badan masih berasa tidak larat. Saya rasa nak putus asa tetapi nasib sementara sahaja. Sebab tu, dalam Islam ada menyebut perlu istiqamah untuk terus hidup.

“Saya cuba untuk positif. Saya ingat saya takkan berjaya di Everest dan rasa nak turun. Tetapi apabila dapat menenangkan fikiran setelah cukup rehat dan tidur di Kem 4 itu saya gagahkan diri juga untuk meneruskan pendakian.

“Saya cakap kepada diri sendiri ini mungkin peluang terakhir. Saya dah ada di sini selama tiga bulan, jika tak sampai, ibarat penantian yang merugikan bukan sahaja untuk diri malah untuk seluruh rakyat dan kerajaan.

“Semua ingin melihat jika ada lagi rakyat Malaysia yang mampu tawan Everest selain Datuk Magendran Mohandas pada 1997.

“Belum lagi dengan cabaran apabila ada orang yang memperlekehkan keupayaan kita dengan tidak mahu bekerjasama. Saya pergi sebagai duta Malaysia, jadi saya cuba elak semua perkara negatif.

“Saya tak nafikan dalam hidup perlu ada suka-duka, nangis-tawa terutama apabila berdepan dengan situasi yang mencabar. Barulah kita jadi manusia yang lebih bersedia,” katanya.

Baran Berkurang, Solat Terjaga

Qobin juga menyifatkan pengalaman menjelajah dan mendaki menjadikan barannya berkurang selain solat lebih terjaga.

“Bila mendaki, sikap baran saya berkurang. Naik Everest tu memang seksa, terus-terang saya dah tak rasa boleh balik. Apabila terlalu penat, nak berjalan pun dah tak larat.

Qobin ketika ditemui di rumah ibunya.

Qobin ketika ditemui di rumah ibunya.

“Tetapi pengalaman ibarat mati hidup semula itu membuatkan saya ingin menjadi hamba Allah, rakyat Malaysia yang sentiasa positif berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Sampai hari ini saya istiqamah menjaga solat Subuh berjemaah dan sentiasa menjaga solat lima waktu.

“Saya macam perli diri sendiri. Saya boleh mendaki gunung berjam-jam, beratus-ratus km, berbasikal tetapi kenapa tidak boleh sempurnakan sembahyang lima waktu? Kenapa saya tak boleh sembahyang berjemaah?  Bukan sukar pun, 10 minit dah habis! Itulah tanggungjawab sebagai umat Islam.

“Itulah istiqamah yang saya nak ubah dari dulu sampai sekarang dan akan berterusan sampai saya tua. Konsep saya senang, rezeki semuanya daripada Allah jadi kenapa kita tak nak dekat kepada Dia? Untuk murah rezeki, jaga solat subuh berjemaah. Meet our real boss!” jelasnya.

Doa Ibu

Menurut ibu Qobin, Sharifah Wook, 56, jauh di sudut hatinya dia berbangga dengan kejayaan anak keempatnya itu yang berjaya sampai ke tahap seperti hari ini.

“Masa sekolah memang saya tak nafikan dia memang nakal ada panjat-panjat pokok, bukit. Dalam sukan juga Qobin memang aktif terutama dalam sukan lumba lari, lompat jauh, dan lompat pagar. Dia juga merupakan olahragawan SMK Seri Pantai selama tiga tahun berturut-turut.

Qobin hanya minta saya doakannya - Ibu

Qobin hanya minta saya sentiasa doakannya – Ibu

“Tetapi saya tak sangka  semasa belajar di UiTM, Qobin berjaya tawan Everest. Semasa dapat tawaran ke Everest tu, saya risau juga jika Qobin cedera.

“Dia tunjuk gambar-gambar gunung tertinggi di dunia tu pun dah buat saya risau. Cuma dia selalu cakap, mama doa je. Katanya kalau nak mati di mana-mana boleh,” katanya.

Sharifah turut menjelaskan dia melihat sendiri bagaimana anaknya itu berusaha gigih untuk merealisasikan impiannya selama ini.

“Saya nampak semuanya di hadapan saya. Dia pernah berniaga kuetiau, berniaga ayam golek untuk mengumpul dana. Belum lagi kisah dia terpaksa tinggalkan kami, anak dan isteri untuk latihan di luar negara. Kami tahu itulah pengorbanan yang dia nak lakukan demi negara,” ujarnya.

Kawan Anggap Qobin Gila-Gila

Dalam pada itu, rakan Qobin, Asdazairi Daut, 36, yang mengenalinya sejak zaman sekolah menengah menganggap Qobin sebagai seorang yang gila-gila namun tetap focus dalam setiap tindakannya.

“Saya kenal dia dah lebih 20 tahun. Qobin ini perwatakannya gila-gila tetapi bila buat kerja dia memang fokus. Contohnya, apabila dia kata dia nak dapatkan Grand Slam. Dengan perangai dia yang gila-gila, dengan latihan yang singkat siapa sangka dia berjaya menyudahkan jelajah ini?

Kawan lebih 20 tahun Qobin, Asdazairi

Kawan Qobin lebih 20 tahun, Asdazairi

“Bila dengan kawan-kawan, kami pun macam tak percaya dia boleh buat tetapi akhirnya dia buktikan dia berjaya tawan tujuh puncak. Kemudian, dia selesaikan pula misi Kutub Utara dan Kutub Selatan. sehingga namanya tercatat dalam Wikipedia,” katanya.

Asdazairi juga menyifatkan sifat Qobin yang ringan mulut untuk menegur semua orang menyebabkan ramai yang menyenanginya.

“Qobin selalu ajak kami mendaki gunung. Contohnya, ketika kami sama-sama mendaki Gunung Kinabalu dua tahun lepas dan selalu juga dia ajak kami mendaki Lopor.

“Sepanjang mempersiapkan diri untuk Grand Slam, saya lihat Qobin banyak korbankan masa untuk bersama keluarganya. Kami pun tahu dia fokus nak dapatkan Grand Slam. Alhamdulillah impiannya jadi nyata,” katanya bangga.

Tiga Pesanan Qobin

  1.  Jangan Malu

“Untuk menjadi pendaki yang berjaya, jangan malu untuk orang kenal kita. Pihak penaja dan orang korporat ni memerlukan seseorang yang popular untuk jual produk mereka. Jadi mereka perlukan orang  yang ramai pengikut.

“Tonjolkan diri seperti pergi ke sesuatu program contohnya mendaki Everest Camp. Bila dah ada pengalaman, boleh mula bercerita dah boleh mula buat kertas kerja.

  1.  Dapatkan Tajaan Sebanyak Mungkin

“Dapatkan tajaan sebanyak yang mungkin menerusi orang korporat mahupun kenalan. Tak kira walau dapat tajaan daripada syarikat kecil sekali pun teruskan menghantar seberapa banyak kertas kerja. Bayangkan jika satu syarikat dapat taja RM2000, dah cukup. Jangan minta banyak. Dari situ kita boleh pergi menawan gunung-gunung yang lain.

Antara koleksi anugerah yang diterima oleh Qobin

Antara koleksi anugerah yang diterima oleh Qobin

“Cuma benda ni memang makan masa. Anda perlu sediakan kertas kerja yang meyakinkan. Setelah berjaya mendaki banyak gunung, balik boleh bercerita. Saya ada seorang atlet yang aktif dalam sukan lasak seperti triathlon dan aktiviti kembara lain, iaitu Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid

“Dia antara pelari trailrun dan maraton yang terbaik di Asia. Dia dah mula ada korporat yang taja. Jadi bila penaja nampak dia menang, penaja dah mula buka mata dan ambil dia sebagai duta.

“Selain itu, di Kutub Selatan, Datuk Lee Chong Wei pun taja saya. Tajaan diberi oleh sebab kita ni bawa logo Malaysia. Dia anggap saya ini sebagai adik dia, sama-sama cuba mengharumkan nama negara.

“Bukan itu sahaja, Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Wilayah dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga ada hulur bantuan.

  1.  Berani Cipta Idea

“Macam saya dahulu mana pernah daki mana-mana gunung. Umur 20 tahun, saya cipta idea sendiri untuk mendaki gunung Everest. Saya jumpa jurulatih pendakian, Mohd Fauzan Hassan.  Alhamdulillah jalan dipermudah.

“Sebenarnya, bila kita cipta idea sendiri, tiada orang lain akan cuba rebut peluang kita,” jelasnya.

Rancangan Masa Hadapan

Qobin yang merupakan graduan Diploma Kesihatan dan Kecergasan, Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berhasrat untuk terus aktif dalam bidan sukan.

Paparan iklan kejayaan Qobin. (Foto: Qobin)

Paparan iklan kejayaan Qobin. (Foto: Qobin)

“Saya juga nak jaga berat badan. Saya tak nak balik lepas tiga hingga lima tahun jadi segemuk-gemuknya sehingga orang tak percaya saya ialah pendaki.

“Pada masa yang sama saya akan cuba lahirkan ikon-ikon baharu Malaysia. Saya akan bawa sesiapa sahaja yang berminat tak kira cacat atau normal. Saya akan cuba buka peluang dengan cuba cari dana. Kemudian saya akan cuba bawa mereka ke tempat impian masing-masing.

“Kemudian, selain aktiviti dalam aktiviti kemasyarakatan saya juga berhasrat nak buat lagu yang dapat memberikan inspirasi terutama ketika ada sesi bersama dengan anak-anak muda,” ujarnya mengakhiri perbulan.

Tinggalkan komen anda