Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Pelancong Terpesona, Thaipusam Meriah Di Batu Caves

By 31 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Kawasan Batu Caves yang menempatkan Kuil Sri Subramaniyar Swamy dikunjungi puluhan ribu penganut agama Hindu dan orang ramai sejak awal pagi yang hadir bagi memeriahkan sambutan perayaan Thaipusam tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut bersama penganut Hindu yang meraikan perayaan tersebut dengan meluangkan masa selama sejam dan memberikan ucapan ringkas kepada penganut serta pengunjung yang membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, di sini.

Ahmad Zahid melambai ke arah pengunjung dan penganut Hindu yang hadir memeriahkan sambutan Thaipusam di Batu Caves, hari ini

Ahmad Zahid melambai ke arah pengunjung dan penganut Hindu yang hadir memeriahkan sambutan Thaipusam di Batu Caves, hari ini

Beliau yang tiba pada pukul 10 pagi berpakaian tradisi masyarakat India, ‘kurta’ disambut Timbalan Presiden Kongres Indian Malaysia (MIC), Datuk Seri S.K Devamany dan Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S.Samy Vellu.

“Thaipusam merupakan satu simbolik untuk merubah daripada aspek-asek yang negatif kepada positif atau daripada yang jahat kepada yang baik, inilah hasrat pengurusan Kuil Batu Caves untuk menjadikan tempat ini bagi mewujudkan kebaikan kepada seluruh penganut agama Hindu.

“Kita menghormati agama yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, semua agama diberikan kebebasan menjalankan aktivitinya dan ini merupakan satu komitmen yang cukup baik,” katanya.

Ahmad Zahid dikalungkan bunga malai semasa hadir memeriahkan sambutan Thaipusam di Kuil Batu Caves, hari ini

Ahmad Zahid dikalungkan bunga malai semasa hadir memeriahkan sambutan Thaipusam di Kuil Batu Caves, hari ini

Beliau berharap tiada sebarang insiden yang tidak baik sepanjang berlangsung perayaan Thaipusam tahun ini dan yakin sekiranya keamanan dapat dipertahankan, Malaysia akan terus dihormati oleh negara-negara lain.

Ahmad Zahid yang turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menyiapkan Komplek Pusat Kebudayaan, kemudiannya beramah mesra dengan para pengunjung serta melawat gerai-gerai yang terdapat di kawasan Kuil Batu Caves sebelum meninggalkan tapak pelancongan terkenal itu pada pukul 11.30 pagi.

Orang ramai termasuk pelancong asing turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan perarakan membawa kavadi iaitu satu upacara membayar nazar penganut Hindu atau menebus dosa masing-masing sempena sambutan Thaipusam.

Terpesona melihat sambutan yang disifatkan amat unit kerana menghimpunkan  bilangan pengunjung yang ramai pada satu masa - Christian Carstens, pelancong dari Jerman

Terpesona melihat sambutan yang disifatkan amat unit kerana menghimpunkan bilangan pengunjung yang ramai pada satu masa – Christian Carstens, pelancong dari Jerman

Seorang pelancong dari Jerman, Christian Carstens, 56, berkata dia sangat terpesona melihat sambutan yang disifatkan amat unik kerana menghimpunkan bilangan pengunjung yang ramai pada satu masa.

“Walaupun telah dua kali berkunjung ke Malaysia, ini merupakan kali pertama saya melihat sambutan Thaipusam di Batu Caves, sangat unik dan penuh warna warni dan pasti saya akan berkunjung lagi pada tahun hadapan bersama kawan-kawan pula,” katanya.

Seorang lagi pelancong, Erika, 42, yang berasal dari Hungary, turut teruja menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves yang merupakan pengalaman kali pertama dalam hidupnya.

“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat baik kerana dapat menyaksikan penganut Hindu membawa ‘kavadi’, tambahan pula ianya disambut dalam suasana yang aman dan harmoni oleh semua orang,” jelasnya yang hampir seminggu berada di Malaysia.

– AH

Tinggalkan komen anda