Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

Pembinaan Litar Permotoran Antarabangsa Labuan Disambut Baik

By 11 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: M.Khairul Azad Yunus & Haziq Ruslain (Labuan)

LABUAN 11Feb (Malaysiaaktif) – Para peminat dan penggiat sukan permotoran di pulau ini menyambut baik keputusan kerajaan untuk membina Litar Permotoran Antarabangsa Labuan di Kiansam.

Pengerusi Labuan RXZ Crew, Noor Afendy@Jack berpendapat litar itu akan membawa banyak manfaat kepada anak muda di pulau ini.

“Dengan adanya litar lumba tersebut, ia mampu mengurangkan masalah rempit kerana anak muda dapat berlumba di tempat yang betul.

“Sektor pelancongan juga akan mendapat manfaat kerana akan ramai peminat dan pelumba dari luar yang datang ke Labuan,” katanya.

Pihaknya turut tidak ketinggalan untuk memanfaatkan litar permotoran itu setelah siap kelak.

“Sebelum ini kami pernah membuat permohonan untuk mengadakan perlumbaan sukan drag tetapi tidak diluluskan kerana ketiadaan tempat yang sesuai.

“Selepas litar ini siap nanti hasrat kami mengadakan perlumbaan drag akan menjadi kenyataan,” kata Affendy semasa ditemui pada Majlis Pecah Tanah projek itu di Kiansam semalam.

Adeng (dua dari kiri) bersama ahli-ahli Scram Rider Motor Sport Club

Adeng (dua dari kiri) bersama ahli-ahli Scram Rider Motor Sport Club

Seorang lagi penggiat sukan permotoran, Zarfaudzi@Adeng Pungot berkata, pembinaan litar permotoran itu juga mampu meningkatkan sukan motorcross di pulau ini.

“Pembinaan projek yang berdekatan dengan litar motorcross dapat menjadikan Labuan salah satu tempat terbaik bagi sukan ini di Borneo.

“Litar motorcross seluas tiga ekar yang akan dilengkapi kemudahan asas itu juga boleh menarik kehadiran pelancong luar serta peluang bagi kami menganjurkan pelbagai siri perlumbaan yang menarik pelumba motorcross dari luar negara, seperti Indonesia,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Scram Rider Motor Sport Club.

Jack (dua dari kiri) bersama ahli-ahli Labuan RXZ Crew turut sama membuat pertunjukkan drag pada program itu

Jack (dua dari kiri) bersama ahli-ahli Labuan RXZ Crew turut sama membuat pertunjukkan drag pada program itu

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor pada ucapan perasmiannya berkata, projek itu hasil cetusan idea Pemuda Umno Labuan.

“Ini idea kepimpinan Pemuda Umno Labuan yang melihat potensi sukan ini untuk diketengahkan,” katanya.

Tengku Adnan turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluluskan peruntukan bagi Fasa 1 sebanyak RM 3 juta melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau juga berharap kesinambungan baki peruntukan sebanyak RM 4 juta dapat diteruskan pada tahun berikutnya.

Litar permotoran ini selaras dengan perancangan di dalam Labuan Blue Print 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri pada 18 Januari lalu.

Litar permotoran yang pertama di Labuan ini bakal mempunyai sebuah litar sepanjang 1km, dewan serbaguna, kafe, menara kawalan perlumbaan, ruang rawatan, podium paddock / pit, surau dan ruang untuk penonton.

Tinggalkan komen anda