Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Kerajaan Prihatin Keperluan Penduduk Seputeh

By 26 Februari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Malaysiaaktif) – “Pelbagai inisiatif untuk mensejahterakan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan telah diambil seperti pembinaan rumah pelbagai kategori bagi memenuhi permintaan penduduk di Parlimen Seputeh”.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata demikian ketika merasmikan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan (K1WP) Peringkat Parlimen Seputeh dan Sambutan Tahun Baru Cina di Bandar Baru Seri Petaling, di sini semalam.

“Antara projek perumahan sedang dibina adalah Residensi Jalilmas, Residensi Desa Satumas, Residensi Rimbunan dan Residensi Lana.

“Manakala bagi memenuhi keperluan penduduk dalam kategori B40, kerajaan turut membina perumahan kos rendah seperti Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Sri Endah Baru Seri Petaling dan Rumah Pangsa Kos Rendah Seri Lempah Taman Desa,” katanya.

Antara pengunjung yang hadir semasa Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Seputeh

Antara pengunjung yang hadir semasa Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Seputeh

Jelas Tengku Adnan, kerajaan turut mengambil inisiatif untuk membantu flat rumah swasta di Jalan Gempita, walaupun perumahan kos rendah tersebut sepatutnya perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak Pengurusan Komuniti).

“Demi menceriakan kawasan perumahan dan memberi keselesaan kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah di Parlimen Seputeh, kerajaan terus menyumbangkan dana melalui program mengecat semula flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA),” katanya lagi

Menurut Tengku Adnan, kerajaan juga masih meneruskan perkhidmatan bas sekolah secara percuma kepada penduduk PPR dan PA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Di Parlimen Seputeh sahaja, program ini telah memberi manfaat kepada 329 pelajar daripada jumlah keseluruhan 8,756 pelajar,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Seputeh

Antara aktiviti yang dijalankan sempena Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Seputeh

Tambah Tengku Adnan, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan juga mendapat maklum balas positif daripada pihak sekolah tentang tahap kehadiran pelajar ke sekolah yang tinggi sejak inisiatif ini diambil.

“Kita yakin dengan keselesaan dan kemudahan bas sekolah yang disediakan ini akan meningkatkan semangat para pelajar untuk hadir ke sekolah, malah inisiatif ini juga amat membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam menanggung kos perbelanjaan untuk isi rumah mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Shirley Chai, 58, berkata dia berasa bangga dapat menyertai program K1WP di Parlimen Seputeh ini kerana dapat bergaul dengan pelbagai masyarakat, tidak mengenal bangsa mahupun agama.

“Melalui pelaksanaan program ini, pemimpin berpeluang mendekati rakyat bagi mendengar permasalahan rakyat dan menangani isu-isu setempat dengan segera,” katanya.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Shirley Chai, 58

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Shirley Chai, 58

Shirley yang juga merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling berbangga kerana dapat membawa 100 pelajar untuk menyertai Larian Seputeh 2018 yang diadakan pada sebelah petang sebelum program K1WP ini berlangsung.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff.

Program yang dibanjiri kira-kira 3,000 komuniti di Parlimen Seputeh ini menjadi penutup kepada K1WP 2018, setelah dilaksanakan di 11 parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

– AH

Tinggalkan komen anda