Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanViralWilayah Persekutuan

Labuan Berjaya Tarik RM 4.2 Bilion Projek Pelaburan

By 28 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Mohd Faizal Mansor (Labuan)

LABUAN 28 Feb (Malaysiaaktif) – “Daripada Januari sehingga Jun 2017, sejumlah 28 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM4.2 bilion telah dilaksanakan di Labuan.”

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata demikian pada majlis sidang media sempena lawatannya ke Labuan, di pejabat Labuan Shipyard And Engineering (LSE) Sdn Bhd, di sini semalam.

“Hasil pelaburan tersebut, 3,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan bagi manfaat penduduk Labuan khususnya,” katanya.

Jelas Ahmad, pelaburan tertinggi adalah dari Petronas Methanol (Labuan) Sdn Bhd dan diikuti oleh Sabah Gas Industries dan Amsteel Mills Sdn Bhd.

“Saya optimis bahawa perkembangan ini akan menjadi dorongan untuk menarik lebih banyak pelaburan bukan hanya memberi tumpuan kepada pelaburan minyak dan gas untuk pulau ini tetapi juga sektor lain yang masih belum diterokai sepenuhnya,” katanya lagi.

Menurut Ahmad, kementeriannya telah membantu mempromosikan Labuan secara global untuk menarik pelabur asing dan Labuan sentiasa tersenarai bagi promosi pelaburan oleh kementeriannya apabila terdapat misi perdagangan di luar negara.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sedang membantu syarikat LSE untuk mendapatkan lebih banyak aktiviti perniagaan dan peluang baru dalam industri perkapalan (bangunan dan pembaikan kapal).

“Walaupun dalam suasana ekonomi global yang mencabar, syarikat tersebut telah diberi kepercayaan bagi kerja pembaikan kapal perang negara Brunei baru-baru ini yang membuktikan syarikat LSE turut maju ke hadapan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kejatuhan harga industri minyak dan gas di Labuan, Ahmad yakin sektor itu sedang menuju ke arah pemulihan dan itu akan menjadi tanda positif untuk landskap ekonomi pulau bebas cukai tersebut.

– AH

Tinggalkan komen anda