Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanViralWilayah Persekutuan

Warga Pendidik Seharusnya Tidak Pro-Pembangkang

By 2 Mac 2018Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Mohd Faizal Mansor (Labuan)

LABUAN, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Warga pendidik di negara ini seharusnya tidak pro-pembangkang kerana mereka merupakan penjawat awam yang perlu menunjukkan sokongan kepada kerajaan.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, “Warga pendidik perlulah fokus terhadap tugas mereka sebagai pendidik dan bukan menunjukkan sikap melampau yang memperlihatkan mereka propembangkang.”

Jelasnya, ada segelintir kecil guru-guru yang secara terang-terangan menunjukkan mereka pro-pembangkang melalui aplikasi media sosial secara keterlaluan yang sepatutnya tidak berlaku kepada mereka sebagai penjawat awam.

“Saya dah sebut berkali-kali bahawa guru dalam perkhidmatan awam, kalau mereka terlampau menyokong pembangkang mereka harus ada kesedaran yang mereka itu sedang menggalas tugas sebagai penjawat awam iaitu sebagai guru.

“Saya tidak kata kepada kebanyakan, tetapi adalah sebilangan kecil mereka yang menunjukkan sokongan parti politik kepartian ini dan menjadi pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Titian Kasih bersama warga pendidik semasa lawatan kerja sehari ke Labuan, di sini semalam.

Tambah Mahdzir, penjawat awam perlu patuh berlandaskan kod etika sebagai warga pendidik dan etika sebagai penjawat awam.

“Tindakan boleh diambil bergantung kepada keseriusan kes kepada mereka yang benar-benar pro-pembangkang,” katanya lagi.

Pada majlis itu, beliau turut beramah mesra bersama 1,500 warga pendidik Labuan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli serta Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin.

– AH

Tinggalkan komen anda