Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

16 Nelayan Darat Sik Terima Bantuan Pukat

By 4 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan & Foto Oleh : Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa

 

SIK, 04 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 16 orang nelayan darat menerima bantuan pukat bernilai RM260 setiap seorang bersempena Program Jalinan Mesra Perdana Nelayan dan Perternak Peringkat Daerah Sik, di Perkarangan Pejabat Perikanan Daerah, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah merangkap ADUN Belantek, Datuk Hj Mohd Tajudin Abdullah, dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan prihatin dengan segala aduan dan masalah yang diterima dan sentiasa berusaha membantu nelayan darat melalui program peningkatan pendapatan.

Datuk Mohd Tajudin menyerahkan pukat kepada Abdullah Ismail

Datuk Mohd Tajudin menyerahkan pukat kepada Abdullah Ismail

“Sik terkenal dengan ikan pekasam. Jadi mereka boleh mengambil peluang ini untuk meningkatkan pendapatan serta menginovasikan ikan kepada produk lain seperti bebola ikan. Ini tidak mustahil sekiranya, mereka diberi bantuan dan tunjuk ajar bagi menghasilkan suatu produk baru daripada daerah ini,” katanya lagi.

IMG-20180404-WA0058

Justeru itu, Mohd Tajudin turut berharap agar para penerima memanfaatkan bantuan yang diberikan ini bagi menambah punca pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Terima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana telah melepaskan benih ikan ke dalam Empangan Muda dan Sungai Muda. Melalui kaedah ini, para nelayan dijangka akan mendapat hasil tangkapan yang lebih,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Tajudin juga berkata, program hambat ikan yang telah diadakan di Pantai Pokok Jerai pada bulan Februari lalu, merupakan program yang berpotensi untuk dikomersialkan menjadi produk pelancongan di Sik.

IMG-20180404-WA0057

Menurut, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Luther John menerusi program begini, pihak Jabatan akan membantu untuk menyelesaikan dan mengambil maklum masalah dan aduan yang diutarakan oleh nelayan darat.

“Kita tidak berjanji boleh menyelesaikan semua masalah dan rungutan tetapi kita berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dan mengambil maklum masalah yang tuan-tuan hadapi,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, seramai 16 orang nelayan darat yang aktif dan berlesen telah dipilih bagi menerima bantuan yang telah disediakan. Kesemua penerima bantuan tersebut juga merupakan nelayan yang menerima bantuan bulanan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) sebanyak RM 200 sebulan.

Sementara itu, menurut salah seorang penerima Abdullah Ismail, dia merasa gembira dengan bantuan yang diterima.

“Syukur di atas kedua-dua bantuan yang diberikan kepada kami nelayan darat daerah Sik. Semoga dengan bantuan ini, akan membuatkan kami bertambah bersemangat untuk bekerja bagi meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya lagi.

– MRR

Tinggalkan komen anda