PNB Komited Bantu Rakyat Melalui Rumah Mampu Milik

IMG-20180418-WA0007

 

 Laporan dan Foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson)

PORT DICKSON, 18 Apr (Malaysiaaktif) –
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, amat berbesar hati kerana PNB mampu memberi sokongan kepada inisiatif kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat melalui pembangunan rumah mampu milik.

“Sejumlah 5,000 buah rumah mampu milik yang berkualiti dan selesa kini sedang dan akan dibangunkan di tiga lokasi iaitu Port Dickson, Pedas (Negeri Sembilan) dan Banting (Selangor) dalam masa lima tahun.

“Port Dickson telah dikenal pasti sebagai lokasi projek perintis bagi projek perumahan pertama PNB dengan 140 unit rumah teres setingkat dibina di Bagan Pinang,” katanya sempena Majlis Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Sulung PNB di Bagan Pinang di sini, kelmarin.

Mohamad ketika sidang media Majlis Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik di Bagan Pinang, kelmarin.

Mohamad ketika sidang media Majlis Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik di Bagan Pinang, kelmarin.

Ujarnya lagi, rumah mampu milik PNB ini berkonsepkan kediaman bertanah dengan keluasan 1,000 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dengan harga antara RM180,000 hingga RM200,000 seunit.

“Projek ini dibangunkan melalui Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dilaksanakan dengan kos yang efektif yang selari dengan matlamat kerajaan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik,” tambahnya.

Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri mengalukan usaha pelbagai pihak termasuklah PNB dalam menyahut seruan yang dibuat kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik dapat dicapai.

“Isu perumahan menjadi satu masalah kerana kenaikan harga rumah melambung tinggi.  Kerana perubahan ekonomi negara, peningkatan pendapatan dan permintaan memiliki rumah yang tinggi, jadi harga rumah naik dengan mendadak.

“Rakyat mengalami kesukaran untuk memiliki rumah kerana harga yang tinggi sehingga menimbulkan krisis yang menuding jari kepada kerajaan.

“Perdana Menteri telah melihat krisis ini sebagai satu perkara yang perlu diberikan perhatian. Maka tertubuhlah pelbagai agensi seperti PNB dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) dalam menangani hal ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.

Mohd Sani gembira kerana memiliki rumah ini.

Mohd Sani gembira kerana memiliki rumah ini.

Mohamad menjelaskan kerajaan negeri telah mengambil langkah bagi membantu mereka yang susah melalui Dasar Perumahan Negeri Sembilan bagi memiliki rumah dengan penyediaan tiga kategori perumahan mampu milik.

“Dasar ini telah berjaya dan telah meluluskan hampir 8,000 permohonan bagi Kategori A dengan harga rumah RM80,000 seunit,” katanya lagi.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang pemilik rumah PNB, Mohd Sani berkata dengan keadaan ekonomi negara yang semakin meningkat, rumah dengan harga RM180,000 ini dilihat sebagai satu usaha yang baik oleh kerajaan.

“Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan rakyat untuk memiliki rumah dengan harga yang berpatutan, dan saya sangat bersyukur kerana anak saya merupakan salah seorang penerima manfaat ini,” katanya lagi.

Projek perumahan mampu milik yang dimajukan oleh PNB menerusi anak syarikatnya PNB Value Homes Sdn. Bhd. akan memulakan kerja pembinaan pada Jun tahun ini dan dijangka siap pada 2020.

Projek yang menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang telah berkahwin, tidak memiliki rumah dan berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan.

-SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...